Kerana tilam, rumah Cik Pian musnah terbakar

Kerana tilam, rumah Cik Pian musnah terbakar

RAZAK Daud (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Cik Pian Hassan di Felda Raya Jengka 14 di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang wanita mengakui kesilapannya membakar sampah menjelang senja menyebabkan percikan api terkena tilam dijemur di beranda rumah sehingga menyebabkan kediaman pusaka itu musnah terbakar di Felda Jengka 14 di sini.

Penjaganya, Cik Pian Hassan, 50, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam semalam itu, api cepat merebak sehingga tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah tersebut.

“Ketika kejadian, saya beserta tiga anak dan dua cucu berusia enam bulan hingga 20 tahun yang berada di rumah segera bergegas keluar tanpa dapat menyelamatkan apa-apa barangan termasuk dokumen penting.

“Percubaan saya masuk ke rumah untuk mengambil beg tangan mengundang padah apabila tangan kanan melecur teruk dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Jengka.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kehadrat Allah SWT semua 16 ahli keluarga yang tinggal di sini selamat daripada musibah kerana tidak semua berada di rumah ketika kejadian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Cik Pian berkata, buat sementara waktu, dia kini tinggal di Wisma Peneroka Felda Jengka 14 sehingga rumah baharu dibina.

Ekoran kejadian itu, Badan Gabungan Masjid Wilayah Jengka menggerakkan tabung di 37 masjid di situ bagi membantu Cik Pian membina semula rumah didiaminya.

Pengerusinya, Razak Daud berkata, inisiatif ini selari tanggungjawab sosial gabungan masjid bagi membantu sesiapa sahaja warga tanah rancangan dalam Felda Wilayah Jengka yang terkena musibah seperti rumah terbakar, banjir dan lain-lain.

“Pada peringkat awal, sebanyak RM500 dihulurkan kepada mangsa dan bantuan seterusnya akan disampaikan apabila jumlah kutipan diterima daripada pentadbiran 37 Masjid Wilayah Jengka,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka, Mohd. Tarmizi Isa berkata, pihaknya menerima laporan sekitar pukul. 7.40 malam sebelum menggerakkan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separa kekal berkeluasan 40×60 persegi dan peratus kebakaran 100 peratus. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN