Keganasan samseng di Haiti paksa 700,000 orang pindah

Keganasan samseng di Haiti paksa 700,000 orang pindah

ORANG ramai beratur untuk menunggu pengagihan makanan di kem perpindahan di Lycee Marie Jeanne di Port-au-Prince, pada 30 September lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan lebih 700,000 orang terpaksa berpindah di Haiti, dengan separuh daripadanya adalah kanak-kanak, ekoran keganasan berkumpulan di negara itu.

Haiti antara negara termiskin di dunia yang terjerumus ke dalam anarki, di mana kumpulan samseng mengambil alih Port-au-Prince, menyebabkan sistem keselamatan dan kesihatan berada dalam keadaan kritikal.

Agensi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi PBB (IOM) melaporkan, sekitar 702,973 orang dipindahkan di negara Caribbean itu menjelang awal bulan lalu.

“Angka terbaharu ini menunjukkan peningkatan 22 peratus dalam jumlah mereka yang dipindahkan secara dalaman sejak Jun, menonjolkan situasi kemanusiaan yang semakin buruk,” katanya.

Laporan agensi itu mendedahkan, kira-kira 75 peratus daripada mereka yang dipindahkan kini berlindung di wilayah negara, manakala selebihnya berada di Port-au-Prince.

IOM berkata, penduduk yang dipindahkan terpaksa tinggal di tempat perlindungan sesak, dengan sedikit atau tiada akses perkhidmatan asas.

“Tekanan terhadap sumber adalah sangat besar, dengan majoriti isi rumah menghadapi kekurangan bekalan makanan, kemudahan penjagaan kesihatan yang membebankan dan kekurangan bekalan penting di pasaran tempatan.

“Maka, penting agar usaha untuk mengembalikan kestabilan dan keselamatan di seluruh negara diteruskan, termasuk menyelaras bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan mereka yang terjejas,” katanya.

Ketua IOM di Haiti, Gregoire Goodstein menggesa supaya antarabangsa memberikan lebih perhatian kepada krisis kemanusiaan di negara itu.

“Kenaikan mendadak dalam perpindahan menggariskan keperluan mendesak untuk tindak balas kemanusiaan yang berterusan.

“Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan sokongan kepada penduduk Haiti yang berpindah dan komuniti tuan rumah yang terus bertahan dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.

Minggu lalu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB memaklumkan lebih 3,600 orang terbunuh tahun ini dalam keganasan kumpulan di Haiti.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN