SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bernilai RM3.3 juta hasil pemeriksaan rutin di sebuah gudang syarikat logistik di Shah Alam, Selangor pada 15 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, hasil pemeriksan itu, sepasukan anggota serbuan dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita lima buah kotak di gudang terbabit.
Kata beliau, hasil pemeriksaan ke atas kotak-kotak terbabit telah menjumpai sejumlah bungkusan teh herba Cina yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 105 kilogram.
“Modus operandi ahli sindiket adalah dengan menggunakan khidmat pengendali kurier dari Lembah Klang untuk menghantar bungkusan berupa teh herba Cina ke Sabah.
“Pemeriksaan dibuat selepas timbul keraguan apabila tiada alamat pengirim pada bungkusan terbabit dan pemeriksaan terhadap alamat penerima juga mendapati alamat berkenaan palsu,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.
Ribuan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan terus dijalankan dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di gudang terbabit juga telah mengesan kehadiran seorang lelaki yang disyaki pengirim bungkusan terbabit,” jelasnya.
Sementara itu, tambahnya lagi, dadah tersebut dipercayai dari negeri di utara dan berkemungkinan hasil penyeludupan menerusi laluan darat dan laut dari kawasan Segi Tiga Emas.
“Pihak kami juga tidak menolak dadah ini juga untuk diedarkan ke negara jiran Indonesia berikutan harga dadah jenis Methamphetamine adalah empat kali tinggi di negara itu.
“Berdasarkan sitaan kali ini iaitu dengan jumlah berat kasar dadah yang dirampas sebanyak 105 kilogram, kami menganggarkan seramai lebih 525,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.-UTUSAN.