KUANTAN: Tidak semua masyarakat di negara ini sanggup mengeluarkan wang untuk membeli sebuah lukisan asal hasil karya pelukis tempatan dengan harga yang kebiasaannya mencecah ribuan ringgit.
Justeru menjadi cabaran buat seorang pelukis di daerah ini, Ahmad Nazrin Mohamed Noor, 57, untuk memperjuangkan hasil seninya agar ia boleh diterima oleh masyarakat tambahan pula dirinya baru 11 tahun menceburi bidang terbabit.
Meskipun berdepan kekangan penyakit kanser tiroid yang dihidapinya ditambah masalah kesihatan lain seperti sakit lutu dan kencing manis tidak mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan seni berkonsep impresionisme iaitu hasil seni yang lebih kepada abstrak dan bukan secara perincian realistik.
Berbekalkan semangat yang ada dalam diri, pesara guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan itu terus berkarya sehingga mampu menganjurkan pameran solo buat kali ke-11 pada bulan hadapan.
“Saya mempunyai sifu (guru) yang selalu menasihatkan saya supaya tidak berputus asa dan teruskan dengan menganjurkan pameran solo kerana ini sahaja cara untuk saya memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya memiliki karya lukisan yang asli, bukan yang dicetak.
“Daripada pameran solo yang dianjurkan ini, saya sentiasa berharap agar lebih ramai orang yang akan datang membeli lukisan yang saya hasilkan di mana menjadi impian saya untuk melihat setiap keluarga mempunyai satu lukisan asli menghiasi dinding rumah mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia digalerinya, Galeri Artic di bangunan Arked Mara, Jalan Gambut, di sini semalam.
Kata Ahmad Nazrin, lebih mendatangkan kepuasan bagi dirinya apabila dapat melihat hasil karyanya terpampang di mana-mana dinding kediaman atau premis perniagaan.
“Pernah bekas anak murid saya menghubungi saya memberitahu melihat lukisan saya di sebuah restoran. Mereka kenal lukisan saya kerana setiap lukisan saya mempunyai lakaran rama-rama yang melambangkan cantik, bebas dan ampuh.
“Apabila ada antara mereka yang menghubungi saya memberitahu ada melihat hasil seni saya itu, timbul rasa satu kepuasan dalam diri kerana hasil penat lelah saya menghasilkan lukisan akhirnya terbalas,” katanya memberitahu lukisan paling mahal pernah terjual berharga RM29,000 dalam sebuah pameran yang diadakan di Perak.
Menyentuh tentang pameran yang akan diadakan pada bulan depan, Ahmad Nazri berkata, untuk pameran kali ke-11 ini, dia merancang untuk mengetengahkan 11 buah lukisan berkonsepkan tempat-tempat menarik yang terdapat di 11 daerah di Pahang dan menamakannya sebagai ‘The Scenic Sights of Pahang 2.0’.
“Pameran ini merupakan siri kedua saya di mana kali ini saya mengetengahkan lukisan beberapa lokasi yang ada sebahagiannya semakin jarang dikunjungi orang kita seperti air terjun Berkelah di Maran, Sungai Rengat di Ulu Cheka, Jerantut, padang golf dan resort di Bentong, dan lain-lain lagi.
“Tidak hanya itu, lukisan saya yang biasanya saya jual pada harga RM6,000 sehingga lebih RM20,000 pada kali ini saya akan jual pada harga serendah RM2,500 hingga RM5,000.
“Hasrat saya adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki lukisan asli di rumah mereka dan kesemua lukisan saya akan terjual,” katanya. – UTUSAN









