‘Guan Eng kata nak perintah seperti Umar Abdul Aziz’

‘Guan Eng kata nak perintah seperti Umar Abdul Aziz’

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas sentiasa terbuka menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak namun bukan dengan DAP yang disifatkan sebagai musuh politik parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu menganggap DAP musuh bukan kerana kaum tetapi menunjukkan tingkah laku sebenar dan hala tuju perjuangan mereka yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Katanya, kesungguhan Pas melalui kerjasama atas nama perpaduan ummah itu adalah perintah Allah SWT di dalam al-Quran, namun kerjasama itu tidak boleh dengan pihak yang memusuhi dan menentang prinsip Islam.

“Kita menganggap DAP musuh bukan kerana kaum namun DAP sudah tunjukkan tingkah laku dia dan hala tuju perjua­ngan dia yang menampakkan mereka termasuk dalam istilah ‘musuh politik’. Oleh sebab itu, Majlis Syura Ulama isytihar hubungan dengan DAP terbatal.

“Dulu kita pernah kawan baik dengan DAP. Lim Guan Eng sendiri pun pernah sebut dia akan memerintah di Pulau Pinang seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Dia pernah sebut, kita dengar ini, kita boleh berkira terima dengan dia namun realitinya berbeza selepas itu,” katanya.

Beliau mengulas realiti politik semasa Malaysia yang dilihat memerlukan gabungan antara parti-parti politik untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Menurut Hashim, Pas tidak pernah menafikan perlunya kerjasama dan ia sememang­nya memenuhi seruan Allah SWT namun mengikut kaedah dan dasar prinsip Islam dalam mengadakan hubungan dengan pihak lain.

Disebabkan itu katanya, Pas tidak pernah menganggap UMNO sebagai musuh dengan pintu kerjasama sentiasa terbuka.

“Kita masih terbuka untuk bekerjasama dengan pihak lain, termasuk UMNO jika keadaan dan kepimpinan sesuai. Pintu kerjasama dengan UMNO masih terbuka, tetapi buat masa ini kepimpinan mereka dilihat masih belum sesuai untuk kita fikirkan kerjasama itu.

“Seruan untuk perpaduan bukan datang dari Pas tetapi seruan Allah SWT dan disebabkan itu Pas tidak pernah menutup ruang ke arah perpaduan tersebut.

“Kerjasama adalah tuntutan Allah SWT, tetapi ia mesti dilakukan dengan pihak yang tidak menjejaskan akidah dan perjuangan Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN