LUMUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengumumkan kadar yuran pendidikan baharu untuk anak golongan kaya bagi sesi pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) tahun hadapan.
Kadar baharu itu susulan pengurangan subsidi pendidikan bagi kumpulan berpendapatan 15 peratus teratas di IPTA seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025, kelmarin.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan akan memastikan penyasaran subsidi pendidikan itu tidak bersifat diskriminasi atau membebankan kumpulan sasaran tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, ia akan dilaksanakan mengikut kaedah segmentasi atau pembahagian kumpulan berdasarkan pendapatan atau keperluan tertentu.
“Mekanisme pelaksanaan dan pendekatan itu akan kita umumkan (nanti), khususnya mereka yang berpendapatan tinggi yang dari segi amalannya sewajarnya tidak memperolehperkhidmatan (subsidi) sampai ke tahap yang begitu (dinikmati golongan miskin).
“Namun, kita juga membuat perkiraan-perkiraan (seperti) khususnya tentang bilangan ahli keluarga dan juga daripada segi tahap pendapatannya (isi rumah),” katanya selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat ‘Mari Berjumpa Pakar Kesihatan’ di Batu 10, Lekir, dekat sini, semalam.
Zambry menjelaskan, kaedah segmentasi itu dilakukan kerana Perdana Menteri ada mengingatkan agar kerajaan tidak melaksanakan satu dasar yang akhirnya dilaksanakan kepada semua tanpa mengambil kira latar belakang pihak yang disasarkan.
Beliau menerangkan, unjuran berkaitan perkara tersebut sebenarnya sudah pun tersedia dan siap dan akan diperhalusi lagi selepas Perdana Menteri mengumumkan perkara tersebut.
Jelasnya, maklumat terperinci akan diumumkan kelak yang meliputi pelajar IPTA sedia ada yang masih belajar pada tahun depan serta pelajar baharu sesi 2025. – UTUSAN










