KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung jenayah yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) seharusnya diberi ruang dan kepercayaan tinggi memandangkan siasatan dan operasi masih berjalan dalam menjejak saki baki pengikut kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Arqam.
“PDRM juga sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara. Sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak Interpol,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) di Dewan Rakyat semalam.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sebelum ini menuntut penubuhan segera RCI menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia, penganiayaan, eksploitasi dan penderaan kanak-kanak dalam operasi GISBH.
Suhakam tegas menyokong cadangan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) berhubung penubuhan RCI berkenaan yang dilihat mekanisme paling berkesan untuk memastikan siasatan menyeluruh, tidak berat sebelah dan telus terhadap dakwaan serius itu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, berdasarkan siasatan PDRM sehingga hari ini, tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan atau pemimpin politik terbabit atau bersubahat dengan GISBH.
“Bagaimanapun, kementerian tidak menolak sebarang kemungkinan kerana siasatan PDRM masih diteruskan dari pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya.