LONDON: Seorang gadis berusia 19 tahun di London berjaya merealisasikan impiannya menjadi doktor tanpa memasuki kolej perubatan, dengan hanya menyamar sebagai kakitangan perubatan di sebuah hospital.
Kreuena Zdrafkova, berasal dari Bulgaria dan tinggal di daerah Ealing, Barat London, sentiasa mengimpikan untuk menjadi doktor.
Namun, dia memutuskan untuk tidak membiarkan kekurangan latihan perubatan menjadi penghalang kepada impiannya.
Awal tahun ini, Zdrafkova memakai jubah putih dan sarung tangan getah, lalu berjalan masuk dengan yakin ke Hospital Ealing dan bertindak seperti salah seorang doktor di sana.
Sepanjang hari, dia dilihat memeriksa alat perubatan, menaiki ambulans bahkan memberi bahan tidak diketahui kepada seorang pesakit, tanpa ada yang menyedari dia bukan seorang doktor.
Dia meneruskan penyamaran sebelum akhirnya ditahan pada hari kedua bekerja di hospital itu.
Zdrafkova dijatuhkan hukuman 12 bulan dan 15 hari aktiviti pemulihan, selain dilarang memasuki mana-mana fasiliti NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan) kecuali dalam keadaan kecemasan.
Menurut peguamnya, Zdrafkova hanyalah seorang pendatang muda yang ingin memenuhi impiannya tanpa benar-benar membahayakan sesiapa, yang mungkin mempengaruhi keputusan hakim memberikan hukuman ringan.
CCTV hospital menunjukkan dia menyuntik bahan tidak diketahui ke dalam mulut pesakit, namun tiada kesan buruk terhadap pesakit tersebut.
Terdapat beberapa kes yang sama sebelum ini, termasuk seorang ‘doktor palsu’ yang menggunakan tutorial YouTube untuk melakukan pembedahan dan seorang remaja di Afrika Selatan yang menjadi bintang TikTok kerana menyamar sebagai doktor.– AGENSI










