WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken berlepas ke Asia Barat hari ini, untuk meneruskan usaha Washington memulakan rundingan gencatan senjata bagi menamatkan perang di Gaza susulan kematian pemimpin Hamas, Yahya Sinwar.
Lawatan ke-11 diplomat AS ke wilayah itu dilakukan, walaupun Israel masih meningkatkan kempen keganasannya di Gaza dan Lubnan.
Blinken akan berbincang dengan pemimpin serantau mengenai kepentingan menamatkan perang di Gaza, cara untuk merangka pelan pasca konflik bagi wilayah itu, serta bagaimana untuk mencapai penyelesaian diplomatik kepada konflik antara Israel dan Hezbollah, kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.
Menurut Jabatan Negara, lawatan diplomat tertinggi itu akan bermula di Israel, namun tidak memberikan destinasi lain yang tepat.
“Di seluruh rantau ini, Setiausaha Blinken akan membincangkan kepentingan menamatkan perang di Gaza, memastikan pembebasan semua tebusan dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.
“Beliau akan meneruskan perbincangan mengenai perancangan tempoh pasca konflik dan menekankan keperluan untuk merangka jalan baharu yang membolehkan rakyat Palestin membina semula kehidupan mereka,” katanya.
Presiden AS, Joe Biden, Naib Presiden, Kamala Harris dan beberapa pemimpin Barat menyatakan keinginan mereka supaya perang Gaza yang berlanjutan selama setahun berakhir selepas Israel membunuh Yahya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan perangnya di Gaza akan diteruskan, meskipun selepas kematian Ketua Biro Politik Hamas itu.- REUTERS










