KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menggariskan beberapa langkah pemulihan untuk ahli kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) bagi memulakan kehidupan baharu.
Katanya, langkah pertama, mereka perlu terlebih dahulu bertaubat dengan tidak akan mengikut lagi ajaran kumpulan berkenaan.
Ujar beliau, lakukan hijrah dengan meninggalkan kelompok tersebut dan itu juga merupakan konsep di dalam hadis serta seumpamanya.
“Nak didik manusia perlu tiga perkara iaitu pertama sukatan yang betul, kedua guru yang benar, ketiga persekitaran yang sihat, ada tiga benda ini, pendidikan berkesan. Bertaubat dan keluar.
“Kalau bertaubat daripada segi arak berhenti minum arak, kalau taubat judi, berhenti main judi, taubat daripada segi pemikiran kena buang yang salah, ganti yang betul dan buang yang khurafat, itu taubat pemikiran,” katanya dalam sesi podcast fikrah dan hujah bertajuk ‘Selepas geledah, apa penyelesaian’ di sini, semalam.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan mendedahkan pegangan yang dibawa pengikut GISBH adalah terlalu taksub dan mendewakan pemimpin mereka sehingga memutarkan ajaran Islam yang sebenar.
Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap GISBH mendapati kaedah perniagaan syarikat ini telah dimudah cara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi mereka.
Pada 23 September lalu, Razarudin turut menasihatkan dan menyeru ahli GISBH yang melarikan diri tanpa arah tuju dan tidak mempunyai tempat tinggal tampil kepada pihak berkuasa supaya dapat dibantu.
Tambah Mohd. Asri, umat Islam juga diseru membantu golongan ini agar mereka mampu memulakan kehidupan baharu.
“Umat Islam kena tolong mereka termasuk daripada segi kewangan seperti modal perniagaan bagi memulakan kehidupan baharu. Hendak sewa rumah bawa anak isteri, kita kena bantu mereka, ini boleh digunakan wang zakat.
“Itu juga yang ditekankan dalam fatwa negeri ini yang kalau dilihat kita masukkan semua bukan sahaja menghukum tetapi kepada penyelesaian juga iaitu jalan keluar kepada isu ini, cari perlindungan untuk mereka.
“Zakat ini banyakkan dalam negara gunakan pada sasaran yang betul. Pihak korporat juga boleh memberi peluang kepada golongan ini kalau mereka memerlukan pekerjaan dalam membina semula hidup,” katanya. – UTUSAN











