TEMERLOH: Pasar Besar Mentakab sehingga ke stesen minyak Shell bandar Mentakab di sini ditutup sepenuhnya semalam berikutan limpahan air Sungai Semantan sampai ke jalan utama di pekan berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, peniaga di situ sempat memindahkan barangan perniagaan seperti mesin memproses ke tempat selamat.
Beberapa peniaga yang ditemui mengakui masih trauma dengan tragedi banjir besar pada 2021 yang menyaksikan air mencecah bumbung pasar tersebut sehingga menyebabkan ramai mengalami kerugian besar kerana tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaan mereka.
Seorang peniaga ayam, Ah Kaw Min, 65, berkata, dia segera memindahkan barang perniagaannya ke tempat selamat petang semalam berikutan Kampung Batu Kapor sudah pun dinaiki banjir.
“Apabila Kampung Batu Kapor dan sekitar banjir, ia petunjuk kepada penduduk untuk bersiap sedia berpindah kerana kawasan ini juga rendah dan mudah dinaiki air.
“Walaupun kami sering berdepan banjir tetapi kali ini ia agak luar biasa kerana paras air dikatakan meningkat dalam tempoh yang singkat dan berlaku lebih awal daripada kebiasaannya,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Hakime Mat Ali, 70, berkata, jangkaan bahawa pasar besar Mentakab ditenggelami banjir tepat kerana sejak semalam trend limpahan air Sungai Semantan semakin menaik.
Mula berniaga di pasar itu sejak 1979, dia mengakui pengalaman banjir besar 2021 yang menenggelam seluruh bandar Mentakab merupakan memori pahit yang tidak akan dilupakannya.
“Saya berdoa ke hadrat Allah SWT supaya banjir cepat surut dan tidak mengulangi banjir 2021 tetapi melihat kepada cuaca yang redup dan disusuli hujan lebat dibimbangi tragedi 2021 berulang,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Nazri Mohd. Ali, 43, berkata, tindakan mengosongkan kedai petang kelmarin tepat kerana semalam seluruh bangunan pasar tenggelam dan limpahan air sampai ke stesen minyak Shell di bandar Mentakab. – UTUSAN










