Banjir di Perlis makin buruk

Banjir di Perlis makin buruk

PENDUDUK menggunakan perahu untuk urusan harian selepas terputus hubungan akibat banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Banjir di Perlis semakin buruk apabila sebanyak 676 mangsa membabitkan 206 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS).

Mangsa yang dipindahkan membabitkan PPS Sena yang menempatkan 200 mangsa, PPS SK Kubang Gajah (126), PPS SK Guar Nangka (109), PPS SK Bintong (78) dan PPS SK Arau menempatkan 136 mangsa.

Antara kawasan yang terjejas teruk Kampung Tok Kandang, Kampung Belanga Pudak, Kampung Kubang Gajah, Kampung Gial, Kampung Banggol Sena, Kampung Padang Nyu, Kampung Banat dan Alor Ara.

Malah, jalan-jalan besar di sesetengah kawasan juga dilimpahi air selain kebanyakkan rumah masih digenangi air.

Dua sungai di negeri ini turut merekodkan bacaan paras amaran iaitu Sungai Timah Tasoh (29.54 meter) dan Sungai Gial (9.23 meter).

Sistem perparitan di beberapa kawasan sekitar negeri yang tidak sistematik dikatakan menjadi antara punca selain faktor hujan lebat dan limpahan air sungai.

Antara kawasan yang kerap dinaiki dan dilihat perlu dinaik taraf sistem perparitan adalah di Kubang Gajah, Kampung Banat, Kampung Stesen, Kampung Utan Buloh, Jelempok dan Kampung Rambai.

Kata Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, pembangunan baharu yang tumbuh ketika ini seharusnya dilaksanakan seiring dengan sistem perparitan yang lebih besar bagi menampung air sekiranya hujan lebat.

Sistem perparitan yang tidak sistematik itu juga menyaksikan ada penduduk di Pekan Pauh berhadapan Klinik Kesihatan Pauh di sini `terseksa’ setiap kali hujan lebat apabila air daripada longkang di seberang jalan kampung tersebut yang berbau busuk dengan sisa sampah, bangkai melimpah masuk ke rumah mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN