NAIROBI: Wakil Amerika Syarikat (AS) ke Sudan memaklumkan terdapat peningkatan ketara dalam penghantaran bantuan ke negara Afrika yang dilanda perang dan mengalami krisis kemanusiaan dahsyat.
Utusan AS di Sudan, Tom Perriello berkata, pihaknya menyambut baik perkembangan positif yang ketara walaupun berperingkat terhadap akses kemanusiaan di negara itu.
“Kami gembira dengan peningkatan ketara tetapi bertahap dalam akses kemanusiaan.
“Kita berjaya menghantar beberapa ratus trak bantuan melalui kawasan yang sebelum ini disekat,” katanya kepada pemberita di Nairobi.
Konflik di Sudan tercetus pada April 2023 antara tentera dan Pasukan Sokongan Rapid (RSF) selepas rancangan untuk menyerap mereka ke dalam tentera gagal.
Kedua-dua pihak dituduh melakukan jenayah perang, termasuk dengan sengaja menyasarkan orang awam dan menyekat bantuan kemanusiaan.
Lebih 25 juta orang iaitu separuh daripada populasi Sudan mengalami kebuluran terutama di kem pelarian di wilayah Darfur barat, bersempadan dengan Chad, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Konflik ini mengorbankan puluhan ribu nyawa, dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sekurang-kurangnya 20,000 maut, namun anggaran menunjukkan angka korban mencecah 150,000 orang.
Menyifatkan krisis kemanusiaan di negara itu sangat kritikal, Perriello berkata, beberapa pusingan rundingan damai masih gagal menghentikan pertempuran.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif gencatan senjata yang diusahakan oleh AS dan Arab Saudi pada peringkat awal perang dilanggar, menyebabkan proses damai tergantung.
“Antara usaha ini adalah untuk mengembalikan norma asas bahawa walaupun perang berterusan, isu-isu berkaitan akses kemanusiaan dan perlindungan awam perlu dihormati,” katanya.
Pusingan terbaharu rundingan yang diusahakan AS diadakan di Switzerland, bulan lalu.
Walaupun delegasi RSF hadir, angkatan tentera Sudan tidak berpuas hati dengan format rundingan dan memutuskan tidak hadir, namun masih berhubung melalui telefon dengan pengantara.– AFP










