FLORIDA: Sekurang-kurangnya 92 orang dilaporkan masih hilang di North Carolina, selepas Taufan Helene melanda bahagian barat negeri itu beberapa minggu lalu.
Gabenor North Carolina, Roy Cooper memberi amaran jumlah itu mungkin berubah apabila lebih banyak laporan orang hilang diselesaikan.
“Saya ingin memberi amaran bahawa ini bukan jumlah muktamad, kerana pasukan petugas masih meneruskan kerja mereka,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Kira-kira 95 orang dilaporkan maut di North Carolina akibat taufan, dengan keseluruhan korban mencecah 220 orang termasuk di Florida.
Dalam sidang akhbar itu, Cooper turut kesal kerana wujud penyebaran maklumat palsu mengenai taufan, yang menurutnya merumitkan usaha bantuan.
“Jika anda terlibat dalam menyebarkan maklumat ini, maka hentikan. Apa pun tujuan anda, mangsa yang sebenarnya anda sakiti adalah mereka di North Carolina yang memerlukan bantuan,” katanya.
Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan AS (Fema) berkata, ia terpaksa membuat perubahan dalam operasi di negeri itu, dan sempat menarik diri daripada sebuah daerah kerana ancaman yang didorong oleh maklumat palsu.
Sabtu lalu, polis di Daerah Rutherford menahan seorang lelaki yang secara terbuka menyatakan niatnya mencederakan pekerja bantuan, selain didapati memiliki senjata.
Teori konspirasi palsu – kebanyakannya bermotifkan politik – mengenai rampasan tanah, bayaran bantuan dan manipulasi cuaca yang disengajakan, tersebar dengan pantas dalam talian.
Laporan menunjukkan beberapa kumpulan pelampau cuba memanfaatkan bencana dan khabar angin itu.– BBC










