4,971 kes Islamofobia di UK sejak konflik Gaza

4,971 kes Islamofobia di UK sejak konflik Gaza

ORANG ramai mengambil bahagian dalam demonstrasi menentang aktivis sayap kanan British dan pemimpin anti-Islam, Tommy Robinson di tengah London, 27 Julai lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United Kingdom (UK) melaporkan peningkatan ketara dalam insiden kebencian terhadap orang Islam dan Islamofobia selepas peperangan di Gaza.

Menurut laporan kumpulan pemantau, Tell MAMA, sebanyak 4,971 insiden kebencian terhadap orang Islam dan Islamofobia direkodkan antara 7 Oktober 2023 hingga 30 September lepas.

Pengarah Tell MAMA, Iman Atta menyifatkan peningkatan yang membimbangkan itu sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarahnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak 7 Oktober tahun lalu, masyarakat Asia Barat tanpa mengira agama dan individu yang kelihatan beragama Islam khususnya wanita, semakin menjadi sasaran kerana dianggap menyokong hak rakyat Palestin.

“Komuniti ini mengalami penderaan lisan dengan gelaran ‘pengganas’, ‘Hamas’ dan ‘Nazi’, selain berdepan ancaman, keganasan serta diskriminasi di tempat awam,” katanya.

Atta berkata, permusuhan yang semakin meningkat itu bukan sahaja mengancam keselamatan, bahkan juga menjejaskan mobiliti sosial, kerjaya dan pendidikan, sekali gus memberi kesan kepada hak asasi mereka.

Laporan itu mendedahkan, hampir dua pertiga atau 63 peratus daripada insiden melibatkan tingkah laku kasar, manakala 27 peratus lagi dikategorikan sebagai mengancam.

Kebanyakan kes dilaporkan di pusat bandar utama seperti London, Northwest, Yorkshire dan Midlands.

Peningkatan sentimen anti-Islam menyebabkan ramai meragui keselamatan di UK, terutama ketika insiden keganasan sayap kanan yang tercetus akibat serangan di Southport sebelum ini.

Laporan itu memberi amaran peningkatan kebencian terhadap orang Islam membawa risiko jangka panjang yang serius terhadap kesejahteraan ekonomi dan sosial komuniti muslim di UK, selain mengancam perpaduan masyarakat.

Susulan itu, Tell MAMA menggesa ahli politik, media dan institusi awam untuk mengambil tindakan segera bagi menangani cabaran dan menghalang normalisasi naratif yang mengaitkan komuniti Islam dengan keganasan serta jenayah.– ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN