22 maut, Israel bedil kawasan padat penduduk di Beirut

22 maut, Israel bedil kawasan padat penduduk di Beirut

ANGGOTA pertahanan awam Lubnan dan orang ramai memeriksa lokasi serangan udara Israel di Basta, Beirut semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 22 terbunuh dalam serangan Israel di kawasan padat penduduk di tengah Beirut semalam, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Sumber keselamatan mendakwa, seorang pemimpin Hezbollah menjadi sasaran.

“Serangan musuh Israel di ibu kota Beirut malam ini mengakibatkan angka kematian baharu sebanyak 22 orang dan 117 lagi cedera,” kata kementerian dalam kenyataan terkini mengenai angka korban.

Israel berulang kali menggempur pinggir selatan Beirut, yang merupakan kubu gerakan Hezbollah sejak dua minggu lalu, namun serangan pada Khamis adalah kali ketiga disasarkan ke pusat bandar itu.

Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan berkata, serangan itu menyasarkan kawasan Nweiri dan Basta.

“Serangan pertama di Beirut menyasarkan tingkat ketiga sebuah bangunan lapan tingkat di kawasan Nweiri, dan serangan kedua mengenai sebuah bangunan empat tingkat di Al-Basta Al-Fouqa,” lapor NNA.

Jurugambar AFP di lokasi serangan di kawasan Basta melaporkan, dua bangunan lama runtuh, manakala tingkap di rumah-rumah sekeliling pecah akibat kesan letupan.

Perkhidmatan penyelamat dan penduduk tempatan berusaha mengeluarkan mangsa dari timbunan runtuhan.

Awal bulan ini, Israel melancarkan serangan udara maut di Beirut, menyerang sebuah kemudahan perkhidmatan kecemasan yang dikendalikan oleh Hezbollah, mengorbankan tujuh kakitangannya.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN