Zoo Johor dibuka semula selepas tiga tahun ditutup

Zoo Johor dibuka semula selepas tiga tahun ditutup

Aisy Mikael Afeeyat memberi makan kepada burung kakak tua sempena perbukaan semula Zoo Johor di Johor Bahru semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Zoo Johor yang baharu dibuka semula semalam mendapat sambutan ribuan pengunjung yang menggunakan peluang cuti umum sempena Sambutan Hari Kebangsaan untuk beriadah

Seorang pengunjung, Fatanah Fadzil, 29, berkata, kunjungan ke Zoo Johor itu menggamit kenangan manis buat dirinya yang pernah berkunjung ke situ sebelum ditutup, tiga tahun lalu.

“Seronok dapat berkunjung lagi ke Zoo Johor hari ini (semalam). Saya datang bersama suami dan dua orang anak. Sebelum zoo ini ditutup kami juga pernah berkunjung ke sini.

“Banyak perubahan, nampak sangat cantik dan selesa. Memang menggamit memori dan mengimbau kenangan masa saya datang ke sini pada waktu kecil dahulu,” katanya semasa ditemui pada hari pembukaan semula Zoo Johor, di sini semalam.

Elena Ho, 63, pula berkata, kali terakhir dia datang ke Zoo Johor adalah 40 tahun lalu.

“Sempena pembukaan semula, saya datang bersama cucu. Memang sangat menggembirakan. Haiwan lebih banyak berbanding dahulu dan kelihatan lebih terurus.

“Namun, saya mahu cadangkan kaunter jualan tiket boleh ditambah bagi memudahkan urusan pengunjung,” katanya yang menetap di Larkin.

Seorang lagi pengunjung, S. Angelena, 29, berkata, itu merupakan kali pertama dia dan keluarga berkunjung ke Zoo Johor kerana anaknya yang berusia tiga tahun mahu melihat pelbagai jenis haiwan.

“Tahun lepas saya datang tetapi tidak tahu rupanya sedang tutup untuk naik taraf. Jadi hari ini (semalam) sempena pembukaan semula Zoo Johor dan cuti umum, saya datang bersama anak-anak,” katanya seorang pekerja kilang.

Zoo Johor yang berusia 96 tahun ditutup sejak 2020 bagi kerja-kerja naik taraf dengan peruntukan berjumlah RM9.7 juta.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor memaklumkan seramai lebih 3,500 pengunjung telah mengunjungi Zoo Johor setakat pukul 9.45 pagi semalam.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan masyarakat pelbagai lapisan untuk menyertai program haiwan angkat Zoo Johor bagi membantu pembiayaan kos bekalan makanan haiwan.

“Gerak kerja program ini telah bermula dan ada beberapa agensi kerajaan negeri, persekutuan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berminat menjadi keluarga angkat kepada haiwan-haiwan di zoo ini.

“Kempen ini penting kerana makanan haiwan di zoo agak mahal. Contohnya, untuk gajah kita belanja RM250,000 setahun untuk makanan sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×