TANAH MERAH: Gadis yatim piatu dari Kampung Pelain, Batu Gajah, Nur Fatihah Mohammad, 20, yang sebelum ini berkemungkinan besar terpaksa menolak tawaran ke Universiti Malaysia (UM) akibat masalah kewangan menarik nafas lega apabila pusat pengajian itu akan menanggung yuran pengajian dan penginapan untuk tahun pertamanya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Professor Dr. Zamri Radzi berkata, pada masa sama pihaknya memulangkan semula wang pendahuluan berjumlah RM500 yang telah dibayar oleh pelajar berkenaan sebelum ini.
“Kita (UM) akan turut melihat mana-mana biasiswa yang sesuai untuk diberikan kepada Nur Fatihah.
“Nur Fatihah juga layak mendapat bantuan sara hidup sehingga tamat pengajian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan komputer riba dan wang tunai daripada Yayasan Perkasa Siswa Jabatan Pendidikan Tinggi dan komputer riba.
Sementara itu, Nur Fatihah meluahkan rasa syukur kepada semua pihak yang telah membantu merealisasikan impiannya untuk menjejakan kaki ke menara gading.
Katanya, segala persiapan masuk ke UM sudah dibuat dan dia akan berangkat ke Kuala Lumpur pada 27 September ini.
“Terima kasih kepada semua, termasuk wakil UM yang sudi bertandang ke rumah saya.
“Mereka mengalu-alukan kedatangan saya ke UM pada 29 September ini, , soal kewangan tidak perlu dirisaukan lagi kerana semuanya sudah selesai,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang gadis yatim piatu dari Kampung Pelain, Batu Gajah di sini mungkin terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian ke menara gading akibat masalah kewangan.
Nur Fatihah Mohammad, 20, berkata, setakat dia hanya mampu melunaskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 hasil sumbangan orang ramai.-UTUSAN