KURSK: Kemaraan tentera Ukraine ke Kursk di Russia setakat ini masih gagal mencapai salah satu objektif utamanya iaitu menyekat kemajuan pasukan tentera Russia di Donbas, timur Ukraine dalam usaha untuk mengubah lanskap pertemuran.
Serangan mengejut Ukraine pada bulan lalu telah mencapai matlamat lain termasuk memberi tamparan kepada imej kekuatan Russia, memusnahkan aset ketenteraan serta menawan bebarapa wilayah dan tebusan bagi tujuan rundingan.
Namun, kegagalan menyekat kemaraan tentera Moscow telah menyebabkan kritikan kepada Kyiv, terutamanya ketika Russia membuat kemajuan di sepanjang 966 kilometer kawasan di timur Ukraine.
Tentera Russia terus melakukan serangan di Ukraine, merampas beberapa kawasan yang bulan lalu dan semakin mendekati bandar persimpangan kereta api utama Pokrovsk di wilayah Donetsk.
Presiden Russia Vladimir Putin yang hanya beberapa minggu lalu menyatakan rasa kecewa dengan pencerobohan Ukraine ke Kursk, memuji kemaraan tenteranya semasa satu lawatan ke sebuah sekolah.
“Musuh tidak mencapai tugas utama iaitu menghentikan serangan kami di Donbas.
“Buat masa ini di Donbas, kami belum pernah berdepan serangan yang teruk daripada tentera Ukraine,” katanya seperti dilapor Yahoo News.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pula berpendapat, serangan Kursk adalah bahagian penting dalam strategi Kyiv dan akan dimasukkan dalam cadangan pembentangan kepada Amerika Syarikat bulan ini.
Zelensky dalam ucapan videonya Ahad lalu berkata, serangan berulang Russia ke bandar-bandar di seluruh Ukraine telah membuktikan taktik Kyiv berkesan terutamanya di Kursk.- AGENSI










