UK hantar 650 sistem peluru berpandu baharu ke Ukraine

UK hantar 650 sistem peluru berpandu baharu ke Ukraine

SEORANG askar Ukraine dari Briged Mekanikal ke-24 menembak howitzer bergerak sendiri 'Hyacinth-s' ke arah kedudukan Russia di lokasi yang tidak didedahkan di wilayah Donetsk.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: United Kingdom (UK) akan menghantar 650 sistem peluru berpandu tercanggih kepada Ukraine untuk meningkatkan pertahanan udaranya.

Pengumuman itu dibuat London, beberapa minggu selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengkritik kelewatan penghantaran senjata.

Kumpulan pertama sistem ‘Peluruh Berpandu Ringan Pelbagai Peranan (LMM)’ yang dihasilkan oleh kumpulan Pertahanan Perancis, Thales, dijadualkan dihantar menjelang akhir tahun ini, dalam usaha untuk mempercepatkan penghantaran bantuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakej bernilai AS$213 juta (RM923 juta) diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pertahanan, John Healey pada mesyuarat sekutu Barat Ukraine di Jerman.

“Komitmen baharu ini akan memberi rangsangan penting kepada pertahanan udara Ukraine dan menunjukkan komitmen kerajaan baharu kami untuk meningkatkan sokongan terhadap Kyiv.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kita melihat kos tragis akibat serangan sewenang-wenangnya Russia di Poltava dan Lviv.

“Peluru berpandu buatan UK yang baharu ini akan membantu Ukraine mempertahankan rakyat, infrastruktur dan wilayahnya,” katanya dalam kenyataan.

Tempahan peluru berpandu baharu itu dibuat beberapa hari selepas beliau memberitahu rakan sejawatannya dari Ukraine, Rusterm Umerov, Britain akan meningkatkan sokongan semasa rundingan di London.

Beliau mengesahkan peluru artileri bernilai 300 juta pound (RM1.7 bilion) akan tiba di Ukraine dalam beberapa bulan lagi, menurut Kementerian Pertahanan UK.

Katanya, pakej peluru berpandu terbaharu itu adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pengeluaran pertahanan UK dan Eropah.

Thales, yang membina sistem tersebut di kilangnya di Belfast, Ireland Utara, menggambarkan LLM sebagai peluru berpandu pelbagai peranan yang ringan dengan serangan tepat.

Menurut syarikat pembuat senjata itu, ia direka untuk ditembak daripada pelbagai platform taktikal di darat, laut dan udara terhadap pelbagai ancaman konvensional serta asimetri.

Sebelum ini, UK menyediakan ratusan LMM kepada Ukraine untuk pertahanan udara, dan peluru berpandu tersebut digunakan untuk memusnahkan dron Russia serta ancaman udara lain.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN