Tiada sehari pun udara bersih

Tiada sehari pun udara bersih

SISA dari kilang dilepaskan terus ke sungai hingga menyebabkan airnya bertukar menjadi hitam legam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Teluk Gong di Pelabuhan Klang suatu ketika dahulu merupakan sebuah perkampungan yang permai dikelilingi hutan paya bakau, namun kini tercemar teruk seolah-olah bertukar sebagai pusat pelupusan dan pemprosesan sisa industri, plastik dan tayar terpakai berskala ‘mega.’

Berlakunya keadaan itu akibat kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui proses atau prosedur betul.

Terlalu banyak premis ‘berlonggok’ di sini yang tidak mempunyai papan tanda, apatah lagi di sekelilingnya ditutupi pagar berzink dan pintunya berkunci dipercayai bagi menyembunyikan operasi daripada dikesan pihak berkuasa serta penduduk setempat.

Situasi sedemikian mengukuhkan lagi dakwaan bahawa negara ini menjadi ‘pusat pelupusan sampah’ apabila terdapat kes-kes penyeludupan sisa plastik dan elektronik (e-waste) melalui Pelabuhan Klang.

Kilang-kilang berkenaan beroperasi di kawasan terpencil dan hanya boleh diakses dengan sebatang jalan yang dihubungkan melalui sebuah jambatan dengan struktur jalan rosak akibat terlalu kerap dilalui kenderaan berat.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati kilang-kilang pelupusan sisa yang beroperasi tanpa mengikut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa itu terletak di Jalan Pusara, Jalan Udang Gantung, Lebuh Kampung Nelayan dan Jalan Perajurit.

Paling membimbangkan, kilang-kilang berkenaan terletak dalam radius kurang dua kilometer dari penempatan penduduk dan sekolah.

Di Jalan Pusara, terdapat sebuah kilang melupuskan tayar terpakai bukan sahaja tidak mempunyai papan tanda, malah ditutup dengan zink dan tiga pintu masuknya dikunci rapat.

Pemerhatian mendapati ia beroperasi dengan tiga pekerja asing dipercayai warga Bangladesh yang mengangkut dan memindahkan longgokan tayar terpakai pelbagai saiz.

Kerja-kerja pembakaran tayar terpakai turut kelihatan dan mengeluarkan bau bahan kimia yang sangat menusuk hidung apabila asapnya disebarkan ke udara.

Selain itu, terdapat sebuah lagi kilang pelupusan tayar dekat Jalan Tengah berhampiran Jalan Perajurit. Kelihatan longgokan tayar terpakai dibungkus di dalam jumbo bag (bag industri) dan diletakkan di premis tersebut.

Aktiviti pemindahan tayar-tayar terpakai juga dilihat rancak beroperasi dengan kekerapan lori pelbagai saiz keluar-masuk. Malah, terdapat kontena-kontena diletakkan di bahagian luar bangunan.

Di Jalan Udang Gantung pula, deretan kilang atau gudang menempatkan sisa plastik diisi di dalam jumbo bag dan disusun secara bertindan antara satu sama lain di luar bangunan yang terdedah sehingga jelas kelihatan dari luar walaupun kawasan itu ditutup dengan zink.

Kewujudan kilang pelupusan pelbagai sisa termasuk plastik dan tayar terpakai itu juga dipercayai disumbang dari premis didakwa sebuah bengkel lori dan kenderaan berat lain di sekitar Jalan Mata Ikan Duyung dan Lebuh Kampung Nelayan yang jaraknya kurang 200 meter dari sebuah sekolah rendah.

Malah, turut dikesan aktiviti penyimpanan dan pelupusan tayar terpakai secara haram dekat sebuah pusat jualan tayar di Taman Kem apabila alat ganti kenderaan itu dibiarkan terdedah dan terdapat air bertakung di dalamnya.

Tinjauan turut dilakukan menerusi udara di enam kilang tayar terpakai di kawasan itu.

Hasil rakaman menggunakan dron di salah satu premis mendapati ruang belakang mempunyai saluran dari tangki untuk melepaskan sisa terus ke sungai hanya berjarak kira-kira 20 meter. Air sungai itu jelas berwarna hitam.

Kelihatan longgokan tayar terpakai di samping sisa bahan buangan lain ditempatkan di belakang premis secara terbuka dan boleh menyebabkan air bertakung sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Kilang tersebut mempunyai papan tanda perniagaan di sebelah hadapan dan kelihatan kenderaan pelanggan keluar masuk dipercayai ada aktiviti perniagaan tayar terpakai.

Selain itu, lima lagi kilang didapati tanpa nama dengan kaedah pengoperasian adalah sama. Terdapat longgokan guni putih yang dipercayai sisa-sisa karbon hasil pembakaran tayar tidak bertutup.

Salah satu kilang pula tidak kelihatan corong asap dan sebuah lagi hanya ada satu corong asap kecil sedang beroperasi dan pembakaran secara terbuka juga berlaku.

Bahan buangan dari kilang-kilang ini adalah berisiko kerana mengandungi toksik jika tidak dikendalikan dengan betul. Penyimpanan, pembuangan, pembakaran tayar yang tidak terurus boleh menyumbang kepada pencemaran selain pembiakan nyamuk aedes.

Kesihatan 40,000 penduduk terancam

SISA buangan pepejal dan sampah sarap dari kilang-kilang haram di sekitar Teluk Gong turut dibuang ke dalam sungai.

Lebih 10 tahun masalah bau busuk bahan kimia, sampah industri dan asap merundung lebih 40,000 penduduk termasuk kanak-kanak di sekurang-kurangnya lapan sekolah rendah di Teluk Gong.

Seorang penduduk berusia 40-an yang enggan dikenali memberitahu, masalah kewujudan puluhan kilang haram di situ bukan perkara baharu.

Jelasnya, Kampung Teluk Gong boleh disifatkan tercemar teruk apabila kerap dirundung bau bahan kimia dari kilang serta bau busuk dari anak sungai.

Lebih mengecewakannya, masalah tersebut berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu selepas aktiviti perindustrian mula masuk dengan pembinaan terlalu banyak kilang dan gudang.

“Saya memang penduduk asal di sini. Masalah bau bahan kimia, udara kotor, lori terlalu banyak keluar masuk berlaku sejak 2014 lagi. Tiada satu hari pun udara di Kampung Teluk Gong benar-benar bersih.

“Pada waktu malam, bau asap dan bahan kimia menjadi-jadi. Sungai pula tercemar teruk, walhal dahulu anak sungai yang menjadi penahan limpahan air laut pasang besar pernah menjadi tempat mandi-manda kerana airnya jernih dan bersih.

“Sekarang terlalu teruk, bila lalu dekat jambatan satu-satu­nya laluan masuk ke Teluk Gong, bau bahan kimia yang busuk dari anak sungai itu masuk ke hidung.

“Sudah banyak kali aduan dibuat, pernah dilaporkan dalam berita, tetapi tiada tindakan berkesan sehingga penduduk pun mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena demi mengaut keuntungan jutaan ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk berusia 50-an berkata, anak sungai yang tercemar teruk itu mengalir sehingga ke laut melalui Pangkalan Nelayan Sungai Udang.

“Teruk, kalau surut, air hitam mengalir ke laut. Bila hujan, air hitam itu menjadi merah, tak tahulah bahan kimia apa lagi yang ada di dalamnya.

“Nelayan di situ pun banyak kali mengadu, ikan dekat bahagian muara Sungai Teluk Gong tak banyak seperti dulu akibat air tercemar teruk. Yalah, air dari sisa kilang, tempat lupus sisa plastik, tayar terpakai dan macam-macam lagilah,” luah­nya.

Air sungai hitam, busuk

TAYAR-TAYAR terpakai pelbagai saiz yang dibiarkan terdedah berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Keadaan air anak sungai sepanjang kira-kira 20 kilometer yang mengelilingi Teluk Gong berwarna hitam dan berbau busuk selain dipenuhi sampah dan pelbagai sisa lain menghantui penduduk.

Keseluruhan kilang dan premis yang dikesan di sekitar sungai itu dipercayai menjadi penyumbang kepada masalah pencemaran di Teluk Gong sehingga menyebabkan air anak sungai menjadi hitam legam.

Seperti diceritakan penduduk, tinjauan mendapati anak sungai yang tercemar teruk itu mengalir sehingga ke laut melalui Pangkalan Nelayan Sungai Udang.

Bukan sahaja warna berubah menjadi hitam, malah airnya berbau busuk dan dipenuhi sampah sarap di kawasan sekitar perangkap aliran air sungai.

Turut dijumpai pelbagai sisa bahan binaan termasuk bangkai haiwan seperti ayam dibuang ke dalam sungai selain plastik, botol minuman bersepah di perangkap itu.

Melihat keadaan air yang keruh, amat mustahil ada hidupan boleh hidup di dalam sungai berkenaan.

Seorang penduduk yang tinggal tidak jauh dari anak sungai tersebut menceritakan, saliran air di situ dahulu tidak pernah seteruk itu sehingga menyebabkan bau terutama pada waktu panas dan tengah malam.

“Masalah bau memang teruk. Sesiapa yang datang ke sini memang akan cakap tentang masalah bau. Tak pasti kilang mana yang jadi punca, tetapi sejak ada banyak kilang dekat kawasan Teluk Gong, sejak itulah anak sungai tercemar.

“Bila lalu dekat jambatan yang satu-satunya laluan masuk ke Teluk Gong, dari situ pun sudah dapat hidu bau busuk,” ujarnya.

Sementara itu, seorang nelayan berkata, aktiviti tangkapan ikan di Teluk Gong tidak lagi meriah seperti dahulu apabila pangkalannya kini hanya menjadi tempat untuk orang luar menggunakan perkhidmatan sewaan bot memancing.

“Dahulu kami tak pergi jauh untuk tangkap ikan, cukup di bahagian muara sungai atau mungkin jauh sedikit, pun boleh dapat ikan.

“Sekarang kalau dapat tak tahulah ikannya boleh dimakan atau tidak. Air yang keluar sampai ke muara sudah bercampur dengan sisa kilang yang berwarna hitam dan berbau,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN