Teroka hutan, hidup nelayan darat terjejas

Teroka hutan, hidup nelayan darat terjejas

MOHD. Salleh Mat Lia (kanan) menyimpan jaring yang kosong selepas gagal mendapat ikan di Sungai Nenggiri di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Golongan nelayan darat dari Kampung Bertam Baru di sini yang me­raih rezeki di Sungai Nenggiri, mendakwa pendapatan mereka semakin menyusut kesan aktiviti penerokaan hutan di ulu Kelantan untuk tujuan perladangan, pembalakan dan perlombongan.

Dakwa mereka, aktiviti itu menyebabkan air sungai menjadi keruh sekali gus menyaksikan hasil tangkapan nelayan darat menyusut dan situasi didakwa telah berlarutan sejak lima tahun lalu.

Memburukkan lagi keadaan, kegiatan mengebom ikan di pinggir sungai berkenaan turut memberikan kesan kepada nasib nelayan darat di kawasan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan, Mohd. Salleh Mat Lia, 55, berkata, Su­ngai Nenggiri merupakan lubuk rezeki bagi nelayan darat se­pertinya untuk menangkap ikan daripada pelbagai spesies seperti baung, kelah, jogho, kenerak, lampan dan udang galah.

“Lebih 30 tahun dulu, jika duduk atas tebing saya boleh nampak ikan dalam sungai ke­rana airnya sangat jernih. Tetapi tidak kali ini, nak tengok ikan pun susah kerana perubahan ekosistem kesan daripada aktiviti perladangan, pembalakan dan pertanian menyebabkan air sungai jadi keruh.

“Sekarang ini, kami (nelayan darat) nak dapatkan RM50 sehari pun susah disebabkan perubahan ekosistem sungai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Salleh memberitahu, sebelum ini dia pernah memperoleh pendapatan lebih RM200 sehari hasil menjala ikan di Sungai Nenggiri.

Mazlan Ismail, 54, pula berkata, kebanyakan penduduk menganggap kerja sebagai nelayan darat tidak lagi memberi sebarang keuntungan.

Katanya, situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan penduduk sudah meninggalkan pekerjaan itu dan beralih kepada bidang lain yang lebih menjamin masa depan.

“Dalam situasi hari ini, kami memerlukan sumber pendapatan kukuh untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya rasa sudah lebih 30 tahun air Sungai Nenggiri bertukar keruh. Kami juga dapat melihat kayu atau ranting hanyut sekiranya air pasang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN