MARANG: Kerajaan negeri tidak pernah menghalang atau mengeluarkan arahan penutupan pulau peranginan di negeri ini pada musim tengkujuh.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, keputusan itu juga diserahkan sepenuhnya kepada pemain industri berkenaan sama ada mahu meneruskan operasi atau sebaliknya.
Menurutnya, penutupan operasi di hotel, resort dan inap desa yang dianggarkan berjumlah 88 buah di pulau-pulau pada musim tengkujuh sebelum ini merupakan inisiatif dan bukan arahan kerajaan negeri.
“Kebiasaannya hotel, resort dan inap desa di pulau peranginan di Terengganu menghentikan operasi dan pakej tempahan bermula Oktober hingga Februari sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.
“Penutupan itu dibuat atas faktor keselamatan pelancong terutama ketidaktentuan keadaan cuaca dan laut bergelora,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Ahmad Ridzwan memberitahu, sepanjang tempoh itu, pengusaha terlibat akan membaik pulih kemudahan di penginapan masing-masing.
Tambahnya, jumlah keseluruhan pelancong yang berkunjung di pulau-pulau negeri ini berjumlah 329,112 orang, setakat Ogos lalu.
Katanya, kehadiran pelancong yang direkodkan di Pulau Redang berjumlah 141,621 orang, Pulau Perhentian (110,258), Pulau Kapas dan Pulau Gemia (55,441), Pulau Bidong (2,672), Pulau Tenggol (3,462) dam Pulau Lang Tengah (15,658).
“Jumlah pelancong di pulau tersebut pada tahun 2023 pula seramai 330,528 orang,” ujarnya. – UTUSAN










