BANGKOK: Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Yagi menjejaskan hampir enam juta kanak-kanak di seluruh Asia Tenggara.
Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) berkata, akses kepada air bersih, pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan dan perlindungan terjejas akibat taufan berkenaan.
Taufan Yagi membawa angin kencang dan hujan lebat ke Vietnam, Thailand, Laos dan Myanmar ketika ia membadai wilayah itu hampir dua minggu lalu.
Thailand melaporkan tiga lagi kematian hari ini, menjadikan jumlah korban meningkat 18, dan 537 kematian disahkan di seluruh wilayah terjejas.
Pengarah Serantau UNICEF untuk Asia Timur dan Pasifik, June Kunugi berkata, kanak-kanak dan keluarga adalah golongan paling terdedah kesan kerosakan yang ditinggalkan oleh Taufan Yagi.
Di Vietnam, kira-kira tiga juta orang menghadapi risiko penyakit akibat kekurangan air minuman dan sanitasi yang selamat, kata UNICEF.
Hampir 400,000 orang dipaksa meninggalkan rumah mereka akibat banjir di Myanmar, menambahkan lagi penderitan penduduk yang bergelut pergolakan antara junta dan kumpulan bersenjata.
Menurut agensi PBB itu, Yagi memburukkan situasi kemanusiaan yang sedia teruk di Myanmar dan menyebabkan komuniti terpinggir mengalami krisis yang lebih mendalam.
Program Makanan Sedunia berkata, ia akan melancarkan respons kecemasan di Myanmar minggu ini, bagi mengagihkan nisbah sebulan makanan kecemasan kepada setengah juta orang di negara itu.
Perubahan iklim, yang didorong oleh aktiviti manusia, menjadikan fenomena cuaca ekstrem seperti Taufan Yagi lebih kerap berlaku.- AFP










