Stesen TV berhak tarik gelaran Da’i

Stesen TV berhak tarik gelaran Da’i

Amin Idris
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris berpandangan stesen televisyen berhak memutuskan untuk menarik balik atau tidak gelaran Da’i atau Pencetus Ummah bermasalah yang lahir daripada program terbitan stesen berkenaan.

Menurut Amin, keputusan tersebut terletak di bawah bidang kuasa stesen TV yang melahirkan Da’i dan Pencetus Ummah.

“Kita kena semak dahulu, adakah gelaran ini satu bentuk pentauliahan atau pengiktirafan dalam bidang ilmu sehingga ada keperluan untuk ia ditarik semula.

“Sekiranya ada keperluan, pandangan saya, stesen televisyen berkaitan yang bertanggungjawab menarik semula gelaran berkenaan atau paling tidak membuat kenyataan rasmi mengenainya.

“Tanggungjawab ini bukan dipikul organisasi agama mahupun pendidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Amin juga berharap masyarakat tidak pukul rata dengan menyalahkan semua individu bergelar Da’i dan Pencetus Ummah disebabkan kontroversi yang memalit beberapa individu yang membawa gelaran berkenaan.

“Saya tidak nafikan, gara-gara kontroversi berkenaan, imej ilmuan dan agamawan lain turut tercalar.

“Sampai ada pihak masjid yang membatalkan jemputan mereka kepada sahabat-sahabat Da’i dan Pencetus Ummah disebabkan kontroversi berkaitan.

“Tapi saya harap, ma­syarakat tidak pukul rata, gara-gara satu atau dua individu, semua Da’i atau Pencetus Ummah dikata bermasalah.

“Inilah yang dikatakan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” kongsinya.
Pendakwah terkenal, Ahmad Dusuki Abdul Rani pula menasihatkan kepada mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya memberikan sebarang gelaran lebih-lebih lagi berkaitan hal ehwal agama kepada mana-mana individu.

“Tidak dinafikan, isu yang memalit Da’i dan Pencetus Ummah berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan kepada imej pendakwah dan ilmuan agama secara amnya.

“Disebabkan itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghadiahkan gelaran berkaitan agama kepada mana-mana individu dengan begitu sahaja. Contoh seperti gelaran ustaz, yang sekarang ini terlalu mudah diberikan kepada seseorang.

“Kita kena ingat pesan Rasullullah SAW, yang membawa nama Islam ini adalah benteng kepada agama. Jadi, janganlah kita burukkan agama dengan perkara-perkara yang tidak elok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN