TEXAS: SpaceX dijangka melancarkan kapal angkasa tanpa anak kapal pertama ke Marikh, Starship dalam tempoh dua tahun lagi apabila tingkap pemindahan Bumi-Marikh berikutnya dibuka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk dalam satu catatan di platform media sosial X menyatakan, misi itu dilaksanakan tanpa anak kapal bagi menguji sama ada Starship boleh mendarat dengan selamat di planet berkenaan.
“Sekiranya pendaratan tersebut berjaya, Space X boleh melancarkan kapal angkasa bersama anak kapal ke Marikh dalam tempoh empat tahun lagi,” jelas beliau seperti laporan Reuters.
Pada April lalu, Musk yang mengasaskan SpaceX pada tahun 2002 berkata, Starship tanpa anak kapal pertama akan mendarat di Marikh dalam tempoh lima tahun.
Ketika itu beliau meramalkan, kapal angkasanya akan membawa manusia pertama ke Marikh dalam tempoh tujuh tahun.
Musk sebelum ini mendedahkan hasratnya yang mahu membina penempatan manusia di planet Marikh menjelang 2050.
Jun lalu, roket Starship berjaya melakukan pendaratan di Lautan Hindi, menamatkan misi ujian penuh mengelilingi dunia dalam cubaan keempat roket tersebut.
Musk berharap Starship akan memenuhi matlamatnya untuk menghasilkan pesawat angkasa generasi akan datang yang besar dan pelbagai guna yang mampu menghantar manusia dan kargo ke bulan dalam dekad ini dan akhirnya ke Marikh. – AGENSI










