PETALING JAYA: Selepas tewas di Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Mohd. Azis Jamman membayangkan kemungkinan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka tahun hadapan.
Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan) itu bagaimanapun menyerahkan sepenuh keputusan kepada Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal jika mahu beliau diketengahkan sebagai calon mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun katanya, isu pencalonan pilihan raya tidak penting kerana tumpuan Warisan adalah menumbangkan kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) sekali gus kembali mentadbir.
Menurutnya, Warisan sudah memulakan strategi ekstensif sebagai langkah persediaan menghadapi PRN jika DUN bubar pada bila-bila masa.
“Yang penting, Warisan perlu ambil alih kerajaan negeri dan saya berharap Presiden boleh menyusun strategi ke arah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Pada PRU15 lalu, Warisan hanya menang tiga daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah.
Parlimen Sepanggar yang ditandingi Mohd. Azis antara kerusi gagal dipertahankan apabila tewas kepada calon PKR, Datuk Mustapha Sakmud. – UTUSAN










