SEOUL: Korea Selatan hari ini mengetuai satu sidang kemuncak antarabangsa untuk menetapkan pelan tindakan bagi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri ketenteraan, ketika negara-negara yang berdepan konflik kini beralih kepada teknologi berkenaan.
Portal berita The Business Standard melaporkan, lebih 90 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China menghantar wakil ke sidang kemuncak dua hari di Seoul itu yang merupakan perhimpunan kedua seumpamanya.
Sidang kemuncak pertama diadakan di Amsterdam tahun lalu, di mana AS, China dan negara-negara lain menyokong seruan untuk bertindak tanpa komitmen undang-undang.
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Yong-hyun dalam ucapan pembukaannya pada sidang kemuncak itu memetik kegunaan teknologi AI yang digunakan oleh dron Ukraine untuk menentang Russia.
“Ukraine menggunakan dron disokong AI, yang mampu mengatasi gangguan isyarat serta membolehkan pesawat tanpa pemandu (UAV) di medan tempur untuk berdepan Russia.
“Apabila AI digunakan dalam ketenteraan, keupayaan operasi tentera meningkat, namun ia juga boleh menyebabkan kerosakan jika disalah guna,” kata beliau.
Menteri Luar Korea Selatan, Cho Tae-yul pula berkata, perbincangan antara negara-negara terlibat akan merangkumi aspek perundangan untuk memastikan penggunaan AI mematuhi undang-undang antarabangsa.
Ia juga akan meneliti peranan senjata kawalan jauh dalam melaksanakan serangan sehingga mengakibatkan kematian.- AGENSI










