NEW YORK: Cubaan terbaharu serangan membabitkan calon Republikan, Donald Trump terus menjadi persoalan berkenaan siapa dan motif di sebalik kejadian terbabit.
Insiden yang berlaku di Kelab Golf Antarabangsa Trump West Palm Beach di Florida kelmarin, meningkatkan kebimbangan mengenai ancaman keselamatan yang dihadapi tokoh politik menjelang pilihan raya presiden AS.
Dalam kejadian itu, pegawai penguatkuasa undang-undang berkata, Perkhidmatan Rahsia AS melihat seorang lelaki bersenjata senapang bersembunyi di dalam semak.
Suspek sempat melarikan diri selepas tembakan dilepaskan ke arahnya, tetapi kemudian berjaya ditangkap di sebuah lebuh raya, menurut pihak berkuasa.
Sebelum ini, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan, motif seorang pemuda yang cuba membunuh bekas Presiden itu masih kekal misteri selepas dia dipercayai bertindak sendirian tanpa penglibatan pihak asing.
Oleh itu, FBI sedang mempergiat siasatan terhadap percubaan membunuh terbaharu Trump, yang merupakan insiden kedua dalam beberapa bulan.
Dengan sejarah panjang percubaan pembunuhan presiden dan calon presiden AS, insiden terbaharu ini menunjukkan betapa rentannya tokoh politik berprofil tinggi di Amerika.
Menurut Laporan Perkhidmatan Penyelidikan Kongres, serangan langsung terhadap presiden, presiden terpilih dan calon presiden berlaku sekurang-kurangnya 15 kali, dengan lima daripadanya mengakibatkan kematian.
Berikut adalah senarai beberapa percubaan pembunuhan terhadap pemimpin Amerika termasuk Trump, sama ada yang berjaya atau sebaliknya:
Abraham Lincoln
Dibunuh semasa masih memegang jawatan Presiden AS pada tahun 1865 oleh John Wilkes Booth di Teater Ford, Washington.
James Garfield
Presiden AS ini ditembak pada tahun 1881 di stesen kereta api di Washington dan meninggal dunia akibat kecederaannya dua bulan setengah kemudian.
William Mckinley
Beliau adalah Presiden AS seterusnya yang dibunuh pada tahun 1901 oleh seorang anarkis di Buffalo, New York.
John F. Kennedy
Dibunuh oleh Lee Harvey Oswald pada tahun 1963 di Dallas, Texas ketika Presiden AS ini sedang berarak dalam perarakan kenderaan.
Robert F. Kennedy
Calon presiden AS dan senator ini dibunuh pada tahun 1968 oleh seorang lelaki bersenjata di Hotel Ambassador di Los Angeles.
Gabenor Alabama George C. Wallace
Beliau adalah calon untuk presiden Demokrat, yang ditembak pada tahun 1972 sehingga menyebabkannya lumpuh separuh badan.
Ronald Reagan
Pada tahun 1981, Reagan ditembak di luar Hotel Hilton di Washington. Presiden Amerika ini cedera apabila salah satu peluru melantun terkena limosin dan mengenai bawah ketiak kirinya.
Gerald Ford
Presiden AS ini terselamat daripada dua percubaan membunuh dalam tempoh kurang tiga minggu pada 1975 tanpa sebarang kecederaan.
Theodore Roosevelt
Pada tahun 1912, ketika berkempen di Milwaukee, Roosevelt ditembak di dada, tetapi tetap meneruskan berucap kepada penyokong sebelum dibawa ke hospital.
Donald Trump
Pada 13 Julai lalu, Trump ditembak seorang lelaki bersenjata semasa perhimpunan kempen di Pennsylvania, menyebabkan beliau mengalami kecederaan di telinga.










