SG4 mampu bekal pekerja mahir tempatan

SG4 mampu bekal pekerja mahir tempatan – SUK Kedah

NORIZAN KHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kekurangan tenaga mahir di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) iaitu salah satu kawasan perindustrian terbesar negara dan Asia Tenggara boleh diisi anak tempatan dari Kelantan, Terengganu dan Perlis selain Kedah.

Setiausaha Kerajaan Nege­ri, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, keempat-empat negeri terbabit membentuk inisiatif Empat Kerajaan Negeri (SG4), baru-baru ini.

“Dalam isu pengangguran di­ketengahkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita boleh atasi melalui peluang-peluang pekerjaan yang wujud di KHTP.

“Pada masa ini, kita masih kekurangan tenaga kerja mahir. Mungkin anak-anak Terengga­nu, Kelantan dan Perlis boleh diutamakan di samping anak-anak Kedah berkelayakan untuk diberi peluang kerja,” katanya di sini, semalam.

Isnin lalu, empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) menubuhkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. bagi memboleh­kan berkongsi kekayaan secara saksama.

Dr. Mahathir yang juga Ketua Panel Penasihat SG4 berkata, setiap negeri mempu­nyai 25 peratus pega­ngan dalam syarikat tersebut di mana segala hasil kekayaaan akan diagihkan sama rata.

Sementara itu, menurut Norizan, kelebihan dan kejayaan dicapai di KHTP juga dapat digabungkan dengan negeri-negeri lain bagi membangunkan sektor industri di Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“Semua orang tahu, KHTP mempunyai ciri-ciri mesra perniagaan yang merujuk kepada persekitaran atau sikap yang menyokong dan memudahkan urusan perniagaan. Mungkin kita boleh manfaatkan kelebihan ini di negeri lain,” katanya.

Dalam aspek pendidikan pula, kata beliau, program pertukaran pelajar boleh dilaksanakan melibatkan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) dan institusi-institusi lain di Kedah.

“Sebagai contoh, baru-baru ini terdapat pelajar dari Terengganu yang dihantar ke Unishams. Ini salah satu usaha memantapkan ekonomi, pendidikan dan sosial di keempat-empat negeri ini kerana SG4 adalah satu platform baik bertujuan memantapkan kesejahteraan ekonomi rakyat dan segala aspek yang digabungkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×