MANILA: Ribut tropika Krathon dijangka melanda Filipina menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran di kawasan utara pulau Luzon ekoran kemungkinan ia berpotensi menjadi taufan ‘super’.
Krathon, yang dikenali sebagai Julian di Filipina, dijangka membawa angin kencang yang mencapai kategori taufan menjelang petang Ahad atau awal esok.
Biro Cuaca Filipina dalam kenyataan memberi amaran hujan lebat dan angin kencang disebabkan oleh ribut tropika itu.
Ia menetapkan tanah besar Cagayan dan bahagian timur Kepulauan Babuyan di bawah amaran isyarat angin peringkat berjaga-jaga.
Krathon dijangka bergerak ke perairan timur Taiwan sekitar 1 Oktober ini, menurut biro tersebut.
Pejabat cuaca Jepun memaklumkan, Krathon mungkin menghampiri pulau-pulau barat daya di wilayah Okiniwa pada pertengahan minggu ini, lapor NHK.
Awal bulan ini, taufan Yagi yang membadai Filipina mengorbankan kira-kira 16 nyawa dan menyebabkan 1.7 juta penduduk terjejas.
Taufan Yagi mengganas di beberapa negara Asia Tenggara antaranya Filipina, Vietnam, Thailand termasuk China menyebabkan berlakunya kemusnahan dahsyat.– AGENSI










