ISLAMABAD: Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Pakistan bagi menuntut pembebasan bekas Perdana Menteri, Imran Khan yang dipenjarakan selama lebih setahun didakwa bermotifkan politik.
Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) menganjurkan perhimpunan di Islamabad semalam, menandakan demonstrasi pertama sejak pilihan raya nasional dan wilayah yang dipertikaikan pada Februari.
Gambar dan video yang dimuat naik di platform media sosial X menunjukkan penyokong Khan berarak menuju ke bandar Islamabad dari pelbagai bahagian negara.
Pembantu rapat Khan, Hammad Azhar dalam ucapannya menegaskan, desakan seperti itu tidak akan berhenti sehingga pemimpin PTI itu dibebaskan dari penjara.
“Khan adalah satu-satunya individu yang boleh menyelamatkan negara daripada cengkaman ahli politik yang korup dan tidak kompeten,” kata peguam terkenal dan pemimpin PTI dari Lahore, Salman Akram Raja.
Pihak pentadbiran Islamabad menyekat pintu masuk utama ke bandar itu dengan kontena perkapalan dan polis rusuhan dikerahkan untuk menghalang kemungkinan kekacauan.
Video di media sosial menunjukkan puluhan aktivis PTI berjaya menolak kontena untuk membuka laluan di salah satu pintu masuk.
Visual yang disiarkan di media tempatan, Samaa News menunjukkan orang ramai melempar batu ke arah polis rusuhan dan gas pemedih mati dilepaskan untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Khan, bekas bintang kriket, disingkirkan daripada jawatannya melalui undi tidak percaya pada April 2022.
Beliau dipenjarakan sejak Ogos 2023 dan menghadapi perbicaraan kerana didakwa mencetuskan keganasan pada 9 Mei tahun lalu, ketika penyokongnya melakukan rusuhan dan menyerang kem tentera.- AL JAZEERA










