PETALING JAYA: Kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak banyak didedahkan berikutan sikap ibu bapa yang tidak mahu melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa kerana ingin menjaga maruah keluarga.
Peguam cara dan peguam bela, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata, jumlah jenayah seksual membabitkan kanak-kanak tidak menunjukkan bilangan sebenar disebabkan tindakan ahli keluarga yang menyembunyikannya daripada pihak berkuasa.
Menurutnya, tindakan sedemikian menyebabkan pertuduhan membabitkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang dikuatkuasakan tujuh tahun lalu, masih rendah.
“Pelaksanaan dan pertuduhan membabitkan Akta 792 di mahkamah masih tidak banyak kerana ahli keluarga pemangsa tidak melaporkan kepada pihak berkuasa disebabkan mangsa masih kanak-kanak atau ingin menjaga maruah keluarga sendiri.
“Sekiranya ada pemangsa dalam kalangan ahli keluarga, jangan bertindak untuk merahsiakan jenayah tersebut hanya kerana nak jaga maruah keluarga.
“Pada saya, pemangsa yang dilepaskan, mereka akan jadi lebih licik untuk ‘memangsakan’ mangsa seterusnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan sikap ibu bapa yang dengan mudah memberikan gajet dan kemudahan internet sebagai cara paling mudah dan cepat untuk menghiburkan anak masing-masing merupakan antara faktor meningkatnya kes jenayah seksual kanak kanak seperti pedofilia dan mengantun kanak-kanak (child grooming).
Mengulas lanjut, Nor Zabetha berkata, kewujudan Akta 792 juga masih kurang pelaksanaan di mahkamah dan orang ramai masih keliru dan tidak faham kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
“Sebagai contoh dalam kes ‘Abang Bas’, ada pendirian yang menyokong dan sebaliknya malah ada juga pihak tidak bersetuju bahawa tindakannya salah di sisi undang-undang kerana kebiasaannya buat sedemikian adalah dalam kalangan ahli keluarga.
“Ada juga sesetengah orang sehingga kini tidak faham apa itu antun kanak-kanak. Mengantun kanak-kanak bukan perkara sekali jadi tapi mengambil proses secara berperingkat untuk percayakan kanak-kanak untuk dijadikan mangsa. Justeru, kita perlu memahami akta itu secara mendalam terlebih dahulu,” ujarnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat keperluan untuk menambah baik mana-mana akta bagi melindungi kanak-kanak selain memerlukan masyarakat khususnya untuk turut memahami akta tersebut.
“Bagi ibu bapa, mereka perlu ambil tanggungjawab penuh untuk menjaga anak. Luangkan masa bersama anak dan pantau pergerakan dan pergaulan serta menyemak privasi mereka sebagai langkah keselamatan.
“Masyarakat pula jangan selalu buat tuduhan kepada mangsa. Undang-undang kita memperuntukkan masyarakat supaya jangan menyalahkan mangsa dan lepas tangan dalam isu ini di dalam Akta Kanak-kanak 2001, seksyen-seksyen 27, 28 dan 29,” ujarnya. – UTUSAN










