MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menyatakan sokongannya terhadap calon Demokrat, Kamala Harris dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), November ini.
Menurut AFP, kenyataan Putin hari ini dilihat bersifat sinis selepas Washington menuduh Moscow cuba mempengaruhi pilihan raya tersebut.
Putin sering mengulas mengenai isu politik dan sosial di AS, yang selalunya bersifat sindiran.
Beliau berkata, tahun lalu sistem politik AS ‘rosak’ dan Washington tidak boleh memberi penerangan mengenai demokrasi kepada negara lain.
“Pertama sekali, (Presiden Joe Biden) mengesyorkan semua penyokongnya untuk menyokong Harris.
“Kami juga akan melakukan perkara yang sama, kami akan menyokongnya,” kata Putin sambil tersenyum sinis semasa sesi soal jawab di Forum Ekonomi Timur Russia di Vladivostok.
Pada Februari lalu, Putin menyokong Biden berbanding calon Republikan, Donald Trump kerana menganggap Presiden AS itu lebih boleh diramal.
White House menggesa Putin untuk tidak campur tangan dalam pilihan raya AS.
Kenyataan Putin dibuat sehari selepas AS mendakwa dua pekerja rangkaian berita Russia RT yang dikendalikan kerajaan dan mengenakan sekatan ke atas editor tertingginya.
Washington menuduh mereka cuba mempengaruhi undi AS yang akan datang.










