
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir menuju ke garisan penamatnya.
Hari ini merupakan salah satu detik penting, iaitu hari mengundi awal bagi pegawai dan anggota tentera serta pasangan mereka.
Selain pasukan tentera, turut melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal hari ini ialah pegawai dan anggota polis yang akan bertugas pada hari pengundian, Sabtu ini.
Berdasarkan rekod daftar pemilih terkini, DUN Mahkota mempunyai 4,510 pegawai dan anggota tentera serta pasangan mereka.
Mereka akan melaksanakan tanggungjawab mengundi di Kem Mahkota, Kluang.
Seramai 401 pegawai dan anggota polis yang bertugas pada hari mengundi pada Sabtu ini pula akan menunaikan tanggungjawab serupa pada hari ini.
Mereka akan mengundi di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
Seperti pengundi awam, trend sokongan pengundi tentera dan polis juga sukar dijangka.
Walaupun persepsi awam sering mengatakan sokongan dan undi mereka akan diberikan kepada calon parti kerajaan, namun itu juga hanya andaian.
Yang pasti mereka yang tahu siapa yang bakal dipilih. Hari ini mereka akan mencelup jari sebagai tanda menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat yang diyakini mampu memberi perkhidmatan terbaik di kawasan DUN Mahkota.
Berdasarkan trend sokongan pada pilihan raya sebelum ini, dimaklumkan calon parti kerajaan menerima lebih banyak undi daripada pegawai dan anggota serta pasangan pasukan keselamatan itu.
Namun, undi adalah rahsia! Dan menjadi hak seseorang pengundi untuk memilih sesiapa sahaja calon yang mereka ingini dan yakini.
Ini kerana sokongan dan undian yang diberikan mempunyai beberapa faktor lain, antara calon yang disenangi dan mudah didekati serta khidmat bakti dan sumbangan parti yang diwakili.
Justeru, sama ada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, atau calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang menjadi pilihan para pengundi kedua-dua pasukan keselamatan itu hanya akan terjawab pada proses pengiraan undi yang akan dijalankan selepas berlangsungnya hari pengundian, Sabtu ini.
Kepada yang menjadi pengundi awal hari ini, pilihlah calon yang diyakini mampu membawa kebaikan kepada anda dan masyarakat. – UTUSAN










