PETALING JAYA: Polis telah merakam dua anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang didakwa terlibat dengan kes memeras ugut dua warga asing.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kedua-dua anggota tersebut sudah diambil keterangan semalam dan hari ini bagi membantu siasatan.
“Kita juga sedang mengesan dua warga asing bagi siasatan tersebut dan kes masih disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media kelmarin melaporkan polis menjalankan siasatan dalaman bagi mengetahui kejadian sebenar mengaitkan dua anggota IPD Petaling Jaya terbabit dengan kes memeras wang daripada dua warga asing.
Shahrulnizam dilaporkan berkata, pihaknya mengesan kes itu menerusi satu video yang tular di aplikasi Telegram pada 1 September lalu.
“Rakaman video itu memaparkan dua anggota polis dari IPD Petaling Jaya yang dikatakan menahan dan mengambil duit daripada dua lelaki warga asing.
“Susulan itu, IPD Petaling Jaya sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengesahkan kejadian sebenar,” katanya.
Terdahulu, Telegram Edisi Siasat memuat naik rakaman video dan mendakwa dua pekerja warga asing ditahan sebelum anggota polis terbabit membawa mereka masuk ke kawasan parkir di sebuah bangunan berdekatan.- UTUSAN