‘Peruntukan ahli parlimen pembangkang terus dituntut’

‘Peruntukan ahli parlimen pembangkang terus dituntut’

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli parlimen pembangkang akan terus menuntut peruntukan yang dijanjikan Kerajaan Perpaduan meskipun tempoh menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) berbaki kurang tiga tahun.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan pembangkang adalah sebahagian janji dalam cadangan Institusi Parlimen, maka ia perlu ditunaikan kerajaan.

“Dulu Perdana Menteri janji untuk melakukan reformasi Parlimen, antaranya termasuk isu peruntukan sama rata kalangan ahli parlimen.

“Jadi, kita perlu betulkan perkara yang tidak betul kerana isu peruntukan ini adalah sebahagian daripada cadangan reformasi Institusi Parlimen.

“Maka, kita menuntut kerana ia adalah janji Kerajaan Madani,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pada 20 Ogos lalu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan sudah menerima draf MoU itu menjelaskan terdapat ‘syarat pe­lik’, termasuk wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta dan menya­takan sokongan kepada kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen.

Katanya, selain pengisytiharan harta dan sokongan terhadap kerajaan, MoU itu turut menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau tidak mahu mengulas selagi belum mendapat maklum balas daripada PN.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Takiyuddin turut memaklumkan yang pihaknya akan bermesyuarat mengenai perkara itu dan mengemukakan maklum balas sebaik sahaja mesyuarat itu selesai.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tiada masalah dengan peraturan yang ditetapkan dalam MoU tersebut.

Meskipun beliau belum mene­liti setiap kandungan dalam MoU itu secara terperinci, namun Syed Saddiq berkata, MoU itu telah dibuat sewaktu zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sewaktu berada dalam barisan kerajaan dan kini di sebelah pembangkang pula, beliau konsisten yang peruntukan tersebut adalah hak setiap ahli parlimen yang perlu diberi secara adil tidak kira penyokong kerajaan atau sebaliknya.

“Secara jujurnya, saya belum meneliti kandungan tersebut, namun berdasarkan laporan semalam..apa yang disebut Datuk Seri Takiyuddin itu, contohnya isu sokongan. Ia memerlukan kita untuk menjadi ‘semak dan imbang’ pada setiap usaha kerajaan, dalam masa yang sama tidak menumbangkan kerajaan.

“Sewaktu zaman Datuk Seri Ismail Sabri, bila kita tandatangan, kita tetap di kerusi pembangkang dan kita tetap memainkan peranan semak dan imbang, cuma kita berentap sewaktu pilihan raya. Kita kritik seperti biasa tetapi tiada usaha untuk tumbangkan kerajaan. Perkara ini kita telah praktikkan dulu.

“Selain itu, isytihar harta. Saya adalah orang pertama yang mengisytiharkan harta sejak berada di dalam kerajaan. Belum setahun setengah lagi, nak suruh saya isytihar harta lagi? Boleh, tiada masalah. Beritahu nak isy­tihar pada siapa, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)? Parlimen? Beritahu. Saya akan buat,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN