Pengikut setia GISBH diberi jawatan, dihadiahkan isteri-isteri

Pengikut setia GISBH diberi jawatan, dihadiahkan isteri-isteri

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua ahli yang menyertai GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) wajib mematuhi semua arahan pemimpin dan sekiranya ada yang tidak sehaluan mereka akan diugut.

Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bagi mencapai tujuan tersebut, pengikut GISBH akan didedahkan dengan doktrin pegangan Aurad Muhammadiah melalui risalah atau bahan-bahan bacaan bagi memastikan ketaksuban yang sangat tinggi terhadap pemimpin mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, terdapat laporan diterima oleh PDRM, ada pengikut mendakwa mereka telah diugut sekiranya tidak lagi sehaluan dan mahu keluar dari kumpulan ini.

Menurut beliau, bagi mereka yang patuh, akan diangkat atau dilantik menjadi pemimpin selain dihadiahkan wanita tertentu untuk dijadikan isteri-isteri.

“Disebabkan itu, bila siasatan dilakukan kita (polis) terhadap beberapa individu termasuk pemimpin tertinggi GISBH ini mempunyai lebih dua orang isteri.

“Bagi pengikut yang tidak patuh pula akan diugut selain tidak dibenarkan keluar dari kumpulan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Razarudin berkata, pasukan siasatan masih perlu meneliti dan mengenal pasti identiti latar belakang kira-kira 10,000 ahli yang telah menyertai GISBH.

Beliau berkata, ini kerana jumlah tersebut melibatkan keseluruhan ahli termasuk ka­nak-kanak hanya diperoleh polis berdasarkan dokumen-dokumen yang dirampas selepas beberapa siri serbuan dilakukan di seluruh negara.

“Kita (polis) masih perlu melihat siapa mereka ini, bagaimana mereka mendaftar menjadi ahli GISBH. Adakah pendaftaran ini berlandaskam undang-undang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Razarudin tidak menolak kemungkinan sia­satan polis terhadap pengurusan tertinggi GISBH selepas ini akan dilakukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Fokus siasatan (kita) polis akan pergi ke arah jenayah te­rancang dan kita akan lihat dahulu, sama ada terdapat keper­luan untuk tahan mereka selepas ini di bawah SOSMA atau tidak,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, siasatan yang dijalankan polis di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 juga mendapati GISBH tidak membayar cukai sejak syarikat itu ditubuhkan.

“Setakat ini, kita difahamkan mereka ini tidak pernah membayar cukai bagaimanapun kita serahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) lakukan semakan lanjut,” katanya.

Semalam, Razarudin dalam satu kenyataan mendedahkan pegangan yang dibawa pengikut GISBH adalah terlalu taksub dan mendewakan pemimpin mereka sehingga memutarkan ajaran Islam yang sebenar.

Siasatan PDRM terhadap GISBH mendapati kaedah perniagaan syarikat ini telah dimudah cara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi mereka.

Proses ini mirip seperti indoktrinisasi yang dipercayai menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dianuti sepenuh hati pengikut-pengikutnya.

Doktrin ini dilihat sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini.

Pada 23 September lalu, Razarudin turut menasihatkan dan menyeru ahli GISBH yang melarikan diri tanpa arah tuju dan tidak mempunyai tempat tinggal tampil kepada pihak berkuasa supaya dapat dibantu.

Tindakan ini berteraskan ihsan dalam Rukun Madani Kerajaan Malaysia yang cukup sinonim dengan kepedulian dan belas kasihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN