JERLUN: Lebih 300 penduduk di lima buah kampung di Ayer Hitam di sini bimbang apabila jambatan utama merentasi Parit Tunjang kian uzur dan boleh mengundang risiko keselamatan.
Penduduk mendakwa mereka sudah membuat aduan kepada semua pihak termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Menteri Besar yang bertukar ganti, namun belum ada penyelesaian mengenai jambatan ini.
Penduduk Kampung Tempayan Pecah, Zulkefli Md. Isa, 60, berkata, jambatan tersebut dianggarkan berusia lebih 60 tahun, tidak pernah diselenggara walaupun keadaannya berlubang dan penghubungnya sudah renggang.
“Selain itu, penghadang keselamatan di kiri dan kanan jambatan sudah berkarat dan tercabut. Ada anak-anak muda yang turun ke parit berkenaan untuk mengambil gambar dari bawah dan mereka mengesan terhadap bahagian yang retak.
“Ini jambatan utama yang dilalui sekurang-kurangnya penduduk di lima buah kampung berhampiran. Suatu ketika dulu, laluan ini turut digunakan oleh lori membawa hasil sawah tetapi sekarang, kereta lalu pun sudah bergoyang,” katanya di sini semalam.
Bagi penduduk Kampung Hutan Tualang, Shuib Ayob, 56, pula, laluan itu sibuk pada waktu pagi ketika penduduk kampung keluar bekerja dan anak-anak mahu ke sekolah.
Namun katanya, setiap kali melalui jalan tersebut, hati tidak pernah tenang kerana bimbang berlaku sesuatu tidak diingini.
“Baru-baru ini, tayar sebuah kereta pecah kerana termasuk ke dalam lubang. Dengan keadaan jambatan yang sempit, risiko untuk tayar kenderaan terjerlus ke dalam lubang tinggi.
“Kalau tidak silap saya, pada 2022 MADA pernah datang dan memberitahu kos untuk membaiki jambatan ini mencecah RM400,000. Selepas itu, kami tidak lagi mendengar sebarang perkembangan dan penduduk terus berdepan bahaya setiap kali menggunakan jambatan itu,” katanya.
Penduduk Kampung Padang Tui, Mohd. Zulhailmi Che Azmi, 38, berkata, penduduk sering dihantui persoalan apa akan berlaku sekiranya kecemasan seperti kebakaran berlaku di kampung mereka. – UTUSAN










