KOTA KINABALU: Seorang pemandu berhadapan detik cemas apabila kenderaan dipandu dihempas pokok tumbang dalam kejadian berhampiran Petronas, Likas, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.54 pagi itu, mangsa berjaya menyelamatkan diri ketika kenderaan dinaikinya dihempap pokok tumbang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pokok tumbang kira-kira pukul 8.58 pagi tadi dan sepasukan 10 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Satria dihempap pokok dan pasukan bomba mengalihkan pokok tumbang dengan menggunakan peralatan gergasi berantai.
“Terdapat seorang mangsa dilaporkan selamat dan setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada pukul 9.18 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatam Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima 20 laporan berkaitan pokok tumbang sejak semalam sehingga 11 pagi tadi.
Laporan pokok tumbang itu susulan hujan lebat dan angin kencang yang berlaku di kebanyakan daerah di Sabah sejak semalam.
PGO JBPM Sabah memaklumkan pihaknya menerima 20 panggilan kecemasan berkaitan kejadian pokok tumbang bermula seawal 8 pagi semalam sehingga 11 pagi tadi.
Menurutnya, BBP Lintas dan Kota Belud masing-masing menerima empat panggilan diikuti dengan Penampang dan Kudat yang menerima tiga panggilan dan dua panggilan diterima BBP Kota Kinabalu.
Empat BBP masing-masing menerima satu panggilan kecemasan iaitu Tuaran, Tenom, Sook dan Tawau.