PETALING JAYA: Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk bertemu pemimpin UMNO bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) seolah-olah memperkecilkan keupayaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menarik sokongan Melayu.
Felo Penyelidik Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Universiti Utara Malaysia, Mujibu Abd. Muis berkata, Presiden Pas itu perlu membincangkan hasrat itu dalam Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu berbanding menyatakan pendirian secara terbuka tanpa penglibatan Bersatu.
Katanya, kewujudan Bersatu bukan sahaja sebagai komponen PN, malah parti teras orang Melayu tidak wajar diketepikan dalam usaha menghidupkan MN di samping menarik sokongan kaum tersebut.
“Tindakan Pas ini seolah-olah menunjukkan Bersatu tidak beri kekuatan sedangkan parti itu bersama Pas masing-masing mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu.
“Pas perlu melibatkan kehadiran Bersatu dalam menghidupkan semula MN, bukannya berseorangan dalam hal ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Abdul Hadi berkata, Pas akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO kecuali Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha menghidupkan semula MN yang dibentuk kedua-dua parti itu pada 14 September 2019.
Kata Abdul Hadi, selain pimpinan UMNO, pertemuan itu juga akan diadakan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali.
Menurut beliau, Pas komited menghidupkan kembali MN seperti mana digagaskan terdahulu dan terbuka menerima UMNO dan pimpinan parti berkenaan.
Dalam pada itu, Mujibu berkata, usaha menghidupkan MN dilihat sukar memandangkan UMNO kini dilihat selesa bersama rakan lain khususnya Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kehadiran UMNO dalam Kerajaan Perpaduan kini berada di kemuncak apabila berjaya mengemudi negara sehingga memacu pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
“Justeru, saya melihat UMNO lebih cenderung bersama Kerajaan Perpaduan berbanding MN. Jadi mustahil usaha Pas mahu mengembalikan MN.
“Tidak akan hidup MN kerana beberapa isu seperti sijil halal, maka baru timbul hasrat untuk menghidupkan MN sedangkan isu-isu seperti ini boleh diselesaikan dengan baik antara pihak-pihak terlibat,” katanya. – UTUSAN










