PASIR PUTEH: Seorang anak nelayan yang sebelum ini hampir melupakan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) kini boleh memasang semula impiannya selepas memperoleh bantuan kewangan hampir RM20,000.
Bapanya, Awang Mat Nor, 62, berkata, banyak pihak menyalurkan bantuan kewangan secara terus ke dalam akaun bank selepas kisah anaknya, Wan Nur’alyaa Syaza Awang, 20, disiarkan dalam Utusan Malaysia, kelmarin.
Menurutnya, setakat ini, jumlah terkumpul yang diperoleh anaknya adalah sebanyak RM19,800 hasil sumbangan pelbagai pihak.
“Alhamdulillah, dengan bantuan ini anak saya dapat menyambung pelajaran dalam bidang sarjana muda sastera di USM pada 4 Oktober depan.
“Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor menjadi individu pertama tampil menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM1,000,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Awang memberitahu, anaknya juga menerima bantuan sekali beri menerusi program institusi pengajian tinggi disediakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak.
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Nor Sham Sulaiman menghulurkan sumbangan kepada Wan Nur’alyaa Syaza selepas memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.92 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, baru-baru ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kesempitan hidup memaksa Wan Nur’alyaa Syaza menolak tawaran menyambung pengajian di USM, awal bulan depan.
Keputusan itu terpaksa dibuat selepas kedua-dua ibu bapanya tidak mampu menyediakan wang pendaftaran berjumlah RM1,020. – UTUSAN










