TEMERLOH: Pertubuhan Kebajikan Komuniti Jahut Pahang (PKKJP) dan Majlis Batin-Batin Negeri Pahang menolak penubuhan Pahang Orang Asli Corporation Sdn. Bhd. (Oraco) kerana syarikat itu didakwa bakal merampas hak ekonomi Orang Asli di negeri ini.
Pengerusi PKKJP Rosli Pantang, 45, mendakwa, pihaknya tidak bersetuju dengan Oraco untuk mengambil pengurusan ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) dan Tanaman Semula Berkelompok (TSB) membabitkan getah dan sawit kerana peserta selepas ini hanya akan memperoleh 25 peratus manakala bakinya 75 peratus bakal dimiliki syarikat kerajaan negeri tersebut.
“Semasa pengurusan Risda Plantation Sdn. Bhd. (RPSB), peserta TSK dan TSB memperoleh lebih 30 peratus hasil manakala kebun tanaman sendiri langsung tidak terikat dengan Risda.
“Masalah kerajaan negeri dengan RPSB yang mengarahkan agensi itu menghentikan aktiviti dalam kawasan tanah kerajaan negeri yang membabitkan projek TSK dan TSB sepatutnya tidak membabitkan kebajikan peserta Orang Asli.
“Setelah sesi libat urus bersama peserta TSK dan TSB mereka tidak bersetuju dengan tindakan Oraco mengambil alih pengurusan ladang yang dilihat tiada bezanya dengan pengurusan yang terdahulu di bawah RPSB,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas pertemuan dengan NGO Orang Asli di Kampung Orang Asli Paya Mendoi, Kuala Krau di sini semalam.
Rosli mendakwa, masyarakat Orang Asli Pahang juga bagaikan anak kehilangan ibu kerana Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak lagi berfungsi melindungi kesejahteraan minoriti tersebut terutama membabitkan isu tanah.
“Merujuk, kepada kenyataan Pengarah Jakoa Pahang melalui aplikasi WhatsApp yang menyatakan atas sebab-sebab tertentu dan dasar kerajaan negeri Pahang sejak 2023 dan 2024, surat pengesahan tanah daripada Jakoa tidak lagi sah bagi urusan tanah.
“Kenyataan ini tidak boleh diterima kerana selepas ini pengesahan status tanah masyarakat Orang Asli hanya boleh dikeluarkan oleh Oraco,” dakwanya.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Pahang, Ismail Mohamad, 58, pula menyifatkan Oraco sebuah agensi yang mencetuskan rasa tidak selamat masyarakat Orang Asli terhadap pemilikan tanah walaupun berstatus etnik pribumi.
“Dalam hal ini Akta 134 akta Orang Asli 1954 di dalam Seksyen 6-Kawasan Orang Asli, Seksyen 7-Rizab jelas berhubung peranan Jakoa sebagai pesuruhjaya kepada masyarakat Orang Asli dalam menjaga dan melindungi hak tanah mereka,” dakwanya.- UTUSAN










