PUTRAJAYA: Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin muncul sebagai anak jati negeri itu yang pertama diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1446H/2024.
Beliau berketurunan Melanau dan berasal dari Selalang, 38 kilometer dari bandar Sarikei, Sarawak, menerima wang tunai RM50,000, trofi, medal dan sijil penghargaan.
Anugerah berprestij itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada majlis sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 di sini, semalam.
Penyampaian hadiah itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kipli yang dilahirkan pada 3 November 1967, gembira dan tidak menyangka diberi anugerah besar tersebut.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana anugerah ini sesungguhnya beri motivasi dalam usaha menyatupadukan masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian,” jelasnya.
Beliau yang dilantik mengetuai Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sarawak sejak 2010 lalu merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik dan membesar di kampung.
Bagaimanapun, graduan ijazah Sarjana Muda Usuluddin Kepujian Kelas Pertama di Universiti Malaya pada 1992, sedih tidak dapat meraikan kejayaan dengan kedua-dua ibu bapanya.
Beliau berterima kasih atas pengorbanan ibu bapanya kerana mampu mendidiknya dengan baik.
“Cita-cita sejak kecil tidak pernah terlintas jadi mufti namun ia ketentuan Allah,” katanya yang juga Ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam.
Beliau juga Ahli Jawatankuasa Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Lembaga Pengawalan Percetakan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.
Selain Kipli, enam lagi individu diumumkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul pada sambutan itu dan menerima wang tunai RM30,000, medal serta sijil penghargaan.
Mereka ialah Datin Aminah Zakaria, Datuk Ab. Jamal Tun Dr. Sakaran, Datin Paduka Prof. Dr. Khatijah Mohamad Yusoff, Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, Sariah Ibrahim dan Michael Tong Wai Siong.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, umat Islam harus terus menjadikan Nabi Muhammad SAW yang merupakan murabbi terunggul dan teragung umat sebagai ‘Uswatun Hasanah’ atau teladan yang baik.
Beliau berkata, Rasulullah wajib diberi sorotan penuh perhatian, bukan sahaja dari segi keperibadian baginda, tetapi mencakupi sisi kepimpinan negara, masyarakat dan keluarga khususnya dalam konteks model negara bangsa Madinah.
“Cita-cita negara yang Madani tidak lepas dari mengambil ibrah (pengajaran) dan model Piagam Madinah yang dipelopori baginda, berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan bertiangkan keadilan dan ihsan,” katanya.










