BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menggesa supaya mengehadkan pergerakan rakyat Palestin di Tebing Barat dan melaksanakan hukuman mati terhadap tahanan Palestin di penjara.
Menerusi hantaran di akaun X, Ben-Gvir menggesa supaya jumlah sekatan ketenteraan di Tebing Barat ditambah dan menyekat pergerakan rakyat Palestin di wilayah itu.
Kenyataan itu dibuat susulan kematian tiga anggota polis Israel dalam satu serangan tembakan berhampiran Hebron di selatan Tebing Barat, awal pagi semalam.
“Hak rakyat Israel untuk hidup lebih penting daripada kebebasan pergerakan penduduk Pihak Berkuasa Palestin,” katanya ketika meninjau lokasi serangan tersebut.
Pada masa sama, menteri ekstremis itu juga turut menggesa supaya hukuman mati terhadap tahanan Palestin dimasukkan dalam agenda mesyuarat Kabinet keselamatan Israel, semalam.
Selain itu, Ben-Gvir menyeru untuk menduduki lebih banyak tanah Palestin dan menubuhkan penempatan Yahudi sahaja di Gaza.
Beliau juga menuduh Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpangkalan di Ramallah sebagai menghasut keganasan dan membayar gaji mereka yang membunuh orang Yahudi.
Kenyataan itu dibuat ketika Israel giat meneruskan operasi ketenteraan berskala besar di utara Tebing Barat, membunuh sekurang-kurangnya 26 rakyat Palestin dan menyebabkan kerugian kewangan di wilayah tersebut.
Ketegangan di Tebing Barat semakin memuncak ketika Israel semakin rakus menyerang Gaza, yang kini membunuh lebih 40,700 rakyat Palestin.- ANADOLU










