SINGAPURA: Demi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, sudah tiba masanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dirombak.
Cadangan itu disuarakan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres
agar struktur agensi antarabangsa itu mengalami perubahan supaya peranannya lebih sesuai dengan keadaan dunia sekarang.
Beliau menegaskan, perpecahan geopolitik menyukarkan Majlis Keselamatan untuk membuat dan melaksanakan resolusi.
Katanya, kekurangan tanggungjawab terhadap pelanggaran menyebabkan beberapa negara berasa kebal daripada sebarang tindakan.
“Malangnya, dalam situasi sekarang, undang-undang tidak dihormati. Kurangnya tanggungjawab terhadap pelanggaran menyebabkan beberapa negara berasa kebal.
“Oleh itu, kita melihat negara-negara yang secara sistematik menolak keputusan Majlis Keselamatan,” katanya kepada CNA semasa lawatan tiga hari di Singapura sejak Isnin lalu.
DUNIA DI ZAMAN KEKACAUAN
Guterres mengkritik Russia, yang masih kekal sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan dan mempunyai kuasa veto, walaupun negara itu terlibat dalam perang dengan Ukraine, yang melanggar Piagam PBB.
Beliau turut berpandangan, perubahan itu mesti memperbetulkan kedudukan tidak adil Afrika, yang sepatutnya mempunyai kerusi tetap dalam Majlis Keselamatan.
“Beberapa tahun lalu, ketika saya mula mendapat mandat, ini adalah topik yang dihindari dan tiada siapa bersedia membincangkannya.
“Saya berharap akan ada perbincangan serius untuk mereformasi Majlis Keselamatan dan menjadikannya lebih sesuai dengan dunia hari ini, selain membuat beberapa penambahbaikan dalam peraturan serta prosedurnya,” kata Guterres.
Guterres, yang mula memegang jawatan pada 2017, memberi amaran dunia sedang berada dalam zaman kekacauan, dengan negara tidak mematuhi peraturan yang dipersetujui.
“Hari ini, kita bukan lagi bipolar dan bukan lagi unipolar, tetapi kita juga belum multipolar. Kita berada dalam kekacauan dan sebenarnya hidup dalam situasi yang secara praktikalnya, tiada peraturan.
“Setiap orang melakukan apa yang mereka mahu tanpa sebarang rundingan, tanpa sebarang fungsi normal dan logik masyarakat multipolar,” katanya.
KONFLIK GAZA
Mengulas perang di Gaza, Guterres menyifatkan konflik di wilayah itu adalah yang paling teruk pernah dilihatnya sebagai Setiausaha Agung PBB.
Beliau mengecam penahanan tebusan sebagai amalan yang sama sekali tidak boleh diterima dan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Pertama sekali, tebusan perlu dibebaskan dengan segera tanpa syarat. Tetapi pada masa sama, kita perlu menghentikan pertempuran.
“Kita mesti menghentikan penderitaan rakyat Gaza dan mengakhiri peperangan di wilayah itu,” katanya.
Namun, perjanjian gencatan senjata kekal dalam perang antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas, yang berlangsung hampir 11 bulan belum tercapai.
Perang Gaza bermula pada 7 Oktober tahun lalu, selepas kumpulan pejuang melancarkan operasi rentas sempadan dan menahan 250 tebusan Israel.
Sejak itu, Israel melakukan serangan balas tanpa henti terhadap Gaza sehingga membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin, dengan kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.










