PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.
Panel lima hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azizah Nawawi, sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati mahkamah-mahkamah terdahulu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan bekas Perdana Menteri itu.
“Kami mendapati permohonan responden (pendakwaan) untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengetepikan empat pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Panel Mahkamah Rayuan terdahulu juga mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan rayuan itu. Oleh itu, permohonan semakan adalah ditolak,” kata Hakim Azizah.
Turut bersidang dalam panel sama ialah Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Pada prosiding hujahan sebelum ini, peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik menimbulkan isu bidang kuasa Mahkamah Rayuan untuk ‘menghidupkan semula’ empat pertuduhan yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin ketika berhujah menyatakan, isu bidang kuasa tidak pernah ditimbulkan oleh pasukan pembelaan Muhyiddin sebelum ini, oleh itu jelas bahawa permohonan semakan itu adalah satu salah guna proses mahkamah.
Dengan keputusan semalam, Muhyiddin kekal dibicarakan atas tujuh pertuduhan termasuk tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram. Kes itu ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 27 September ini.
Sementara itu, Hisyam ketika ditemui media berkata, walaupun kecewa, pihaknya tetap menerima keputusan panel tersebut.
Tambahnya, mereka akan meneliti penghakiman itu sebelum memutuskan sebarang tindakan yang akan diambil kelak.
Pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membatalkan semua pertuduhan.
Muhyiddin memfailkan permohonan semakan tersebut pada 29 Februari lalu atas alasan antaranya, panel tiga hakim itu telah memutuskan bahawa empat pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009 yang dikenakan terhadapnya adalah jelas.
Oleh itu, tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan.
Dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 15 Ogos 2023, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas mendapati keempat-empat pertuduhan berkenaan adalah cacat, tidak berasas dan tidak jelas. – UTUSAN










