SERDANG: Hari pertama Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 semalam menyaksikan 13 memorandum persefahaman (MoU) dengan jumlah lebih RM21 juta dimeterai.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kebanyakan MoU yang dimeterai banyak membabitkan industri nanas.
Menurut beliau, industri nanas kini antara fokus kementeriannya.
“Kita nampak industri nanas boleh menjadi satu sumber kekayaan baharu untuk Malaysia kerana negara kita mempunyai potensi besar dalam industri tersebut.
“Ini baru hari pertama. Saya yakin berbaki sembilan hari lagi, mudah-mudahan kita dapat menandatangani dan menarik lebih ramai pelabur serta pembeli ke atas hasil barangan pertanian dan agromakanan negara kita,” katanya di Dewan B, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini semalam.
Arthur Joseph hadir bagi merasmikan dan menyaksikan pemetarian MoU sempena MAHA 2024.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, beliau yakin lebih banyak MoU dimeterai lagi berdasarkan sektor dan subsektor pertanian lain.
Jelasnya, MAHA Go Global yang pertama kali diadakan diyakini dapat menarik lebih ramai pelabur daripada pasaran antarabangsa.
“MAHA Go Global mempunyai 180 pempamer untuk menawarkan kepada pasaran antarabangsa iaitu dari segi produk-produk pertanian dan agromakanan Malaysia.
“Jadi, saya harap pelabur dan pembeli khususnya daripada pasaran antarabangsa untuk datang ke MAHA 2024,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, sambutan orang ramai pada hari pertama MAHA 2024 amat menggalakkan.
“Saya yakin jumlah pengunjung MAHA 2024 akan terus meningkat dari hari ke hari,” ujarnya. – UTUSAN










