PARIS: Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo mencetuskan perdebatan hangat apabila berhasrat untuk mengekalkan logo Olimpik di Menara Eiffel walaupun selepas temasya sukan itu berakhir.
Beliau berkata, keputusan itu terletak di tangannya dan telah mendapat persetujuan dari Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
“Logo itu akan kekal di Menara Eiffel,” katanya kepada akhbar Ouest-France, kelmarin.
Tindakan itu mencetuskan pelbagi reaksi dengan ada yang menyokong, namun sebahagiannya menyatakan ia hanya akan mencemarkan monumen ikonik ibu negara Perancis berkenaan.
Lima gelung selebar 29 meter, 15 meter tinggi dan seberat 30,000 kilogram itu, dipasang di Menara Eiffel sebelum Sukan Olimpik Paris bermula pada 26 Julai lalu, dan akan diturunkan selepas upacara penutup Kejohanan Paralimpik pada 8 September ini.
Hidalgo berkata, bagaimanapun ia akan digantikan dengan gelung yang lebih ringan.
Beberapa warga Paris serta pelancong ke Paris menyokong tindakan Hidalgo dengan menganggap gelung berwarna-warni itu menambah seri kepada Menara Eiffel.
Namun, pengguna media sosial Christophe Robin berkata, Datuk Bandar itu sepatutnya meminta pendapat warga Paris sebelum meneruskan rancangannya.
Hidalgo yang memegang jawatan tersebut sejak 2014, pernah beberapa kali mencetuskan kontroversi menerusi keputusan yang dilakukan antaranya meluluskan kenaikan mendadak kadar letak kereta untuk kenderaan utiliti sukan (SUV).
Sebelum Sukan Olimpik Paris, Hidalgo dan pegawai-pegawai majlis bandar raya masuk ke dalam Sungai Seine untuk membuktikan bahawa sungai tersebut selamat, namun beberapa peserta dilaporkan mengalami muntah-muntah selepas berenang di situ.- BBC









