Lebih 13 jam pulang ke Kelantan

Lebih 13 jam pulang ke Kelantan

JUMLAH kenderaan bertambah memasuki Gua Musang, Kelantan sempena cuti sekolah. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Anak-anak Kelantan di perantauan mengakui terkejut apabila terpaksa menempuh perjalanan lebih 13 jam untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti sekolah.

Mohd. Sulhie Yusuf berkata, kesesakan yang dialami itu cukup luar biasa dan berbeza dengan cuti sekolah sebelum ini.

Menurutnya, tahap kesesakan cuti sekolah sebelum ini disifatkan pada tahap biasa dan tidak terlalu sesak seperti yang dilalui kelmarin.

“Ini kali pertama saya alami tahap kesesakan ‘luar biasa’ sempena cuti sekolah. Saya lihat ramai pengguna jalan raya tidak bersedia dan tidak jangka dengan situasi seperti itu. Mereka pasti ingat kesesakan seperti biasa sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Mohd. Saiful Aziz, 50, dia turut mengakui kesesakan kali ini sebagai luar biasa seolah-olah anak-anak perantau mahu pulang berhari raya di kampung masing-masing.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan cuti panjang menyebabkan anak-anak Kelantan mengambil kesempatan pulang ke kampung.

“Walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang panjang, rasa penat terus hilang apabila selamat sampai ke kampung halaman awal pagi semalam,” ujarnya.

Sementara itu, Rohani Abdullah, 41, berkata, dia turut berdepan dengan kesesakan bermula dari Gerik, Perak.

Katanya, jumlah kenderaan semakin bertambah menjelang waktu tengah hari sekali gus menuntut kesabaran yang lebih tinggi sepanjang pemanduan.

“Masuk sahaja Jeli, aliran trafik bertambah perlahan apabila anak-anak Kelantan yang menggunakan laluan Gua Musang memilih alternatif ke Jeli untuk ke Tanah Merah atau Pasir Mas,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, jumlah kenderaan masuk ke negeri ini semakin bertambah apabila anak Kelantan di perantauan mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti sekolah.

Tinjauan di jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Kuala Krai mendapati aliran trafik mengalami kesesakan berbanding hari biasa.

Selain itu, tinjauan mendapati laluan alternatif Gua Musang-Jeli untuk ke Kuala Krai dan Tanah Merah turut menjadi pilihan anak-anak perantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN